Hutang RM200 tak selesai, kereta dibakar

Hutang RM200 tak selesai, kereta dibakar

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Hanya kerana meminjam RM200, seorang lelaki mengalami kerugian apabila keretanya dibakar along dikenali sebagai Geng Atan dalam kejadian di daerah Kuala Muda, 16 April lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, kejadian itu berunsurkan ugutan terhadap mangsa susulan kegagalannya membayar balik pinjaman yang dibuat secara dalam talian.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati mangsa sudah membayar RM150 kepada along terbabit namun mereka memaklumkan dia tidak habis membuat bayaran menyebabkan keretanya dibakar.

“Susulan itu, polis menahan lima suspek iaitu empat lelaki dan seorang wanita dipercayai Geng Atan yang bergiat aktif melakukan kes menyimbah cat dan membakar kenderaan peminjam along di sekitar daerah Kuala Muda dalam Ops Vulture, 26 April lalu.

“Kumpulan itu dipercayai turut berkait dengan sindiket pinjaman wang tanpa lesen di daerah itu.

“Mereka dipercayai bergiat aktif dalam 11 kes sama di daerah Kuala Muda, ” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini, hari ini.

Adzli berkata, satu pasukan khas telah ditubuhkan yang terdiri daripada pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda dibantu bersama Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kedah dengan tujuan menjalankan operasi bersepadu mengenal pasti dan mengesan suspek terbabit.

“Daripada suspek ditahan itu, dua daripadanya pasangan suami isteri dan si suami dipercayai berperanan sebagai ketua dan sebaik mendapat arahan daripada pihak atasan, dia akan menyediakan nota ugutan kepada peminjam.

“Si isteri pula berperanan menulis nota ugutan manakala tiga lagi suspek bertindak sebagai penghantar nota dan membaling serta menyimbah cat.

“Mereka bertindak membaling cat ke rumah atau kenderaan peminjam sekiranya gagal membayar hutang.

“Hasil siasatan mendapati kesemua lima suspek berusia 31 hingga 43 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamine serta ada yang mempunyai rekod jenayah curi dan dadah,” katanya.

Adzli berkata, dengan tertangkapnya lima suspek itu, polis berjaya menyelesaikan 11 kes membakar kenderaan dan simbahan yang berkaitan pinjaman along.

Menurutnya, dua lagi suspek termasuk dalang masih bebas.

Beliau berkata, setiap tugasan dibayar upah antara RM300 hingga RM600 bergantung pada jenis perbuatan jenayah dilakukan.

“Suspek turut merekrut individu lain termasuk penagih dadah untuk menjalankan kegiatan ini sekali gus menunjukkan sindiket aktif dan agresif.

“Polis turut merampas baberapa barangan kes termasuk tong mengandungi minyak petrol, tin cat, botol kaca, kertas surat khabar, notis ugutan, pakaian yang digunakan ketika kejadian, telefon bimbit suspek serta motosikal digunakan suspek untuk membantu siasatan,” katanya.

Adzli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951, Seksyen 435 dan 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 12(2) dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top