am@hmetro.com.my
Taiping: Status membawa pulang tiga gajah, Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Osaka di Jepun masih belum dimuktamadkan.
Pengerusi Sekretariat Bahana Kesejahteraan Negara (SBKB) Datuk S Kalai berkata, pertemuan hampir sejam bersama Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Taiping (MPT) Mohamed Akmal Dahalan belum memuktamadkan sebarang keputusan lagi.
“Apa yang dimaklumkan, kebarangkalian (membawa balik DAK) masih ’50-50′ dan tiada tarikh khusus ditetapkan.
“YDP memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan esok atau dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui media di Wisma Majlis Perbandaran Taiping (MPT).
Menurutnya, MPT memaklumkan penelitian menyeluruh membabitkan faktor teknikal, saintifik serta keadaan cuaca menjadi antara pertimbangan utama dalam menentukan sama ada pemindahan boleh dilaksanakan.
“Kita faham penjelasan dari sudut saintifik, tetapi rakyat mahukan kepastian, bukan sekadar kenyataan menenangkan keadaan.
“Ini isu membabitkan khazanah negara dan sentimen rakyat,” katanya.
Beliau turut menegaskan keperluan penilaian bebas dan telus bagi memastikan keadaan sebenar gajah berkenaan dapat diketahui umum.
“Kita mahu ketelusan. Jika tiada masalah, buktikan.
“Jika ada unsur pengabaian atau tekanan, tindakan segera perlu diambil,” katanya.
Menurutnya, Mohamed Akmal juga sedang mempertimbangkan untuk melakukan audit sendiri ke Jepun bagi menilai keadaan sebenar haiwan berkenaan.
SBKB menegaskan akan terus mendesak supaya gajah terbabit dibawa pulang kerana ia sebahagian daripada khazanah negara yang perlu dipelihara di tanah air.
© New Straits Times Press (M) Bhd




