15 tahun jadi pengasuh kanak-kanak, 'Uncle Shukur' tak sangka ia jadi kerjaya

15 tahun jadi pengasuh kanak-kanak, 'Uncle Shukur' tak sangka ia jadi kerjaya

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lazimnya, kerjaya sebagai pengasuh sinonim dengan kaum hawa namun Muhammad Shukur Rosani membuktikan lelaki dan ketua keluarga sepertinya juga mampu menjadikan pekerjaan itu sebagai sumber pendapatan.

Kini, sudah 15 tahun Muhammad Shukur, 37, bergelar pengasuh namun dia sama sekali tidak menyangka akan terjebak dalam bidang itu.

Lagipun, Muhammad Shukur adalah graduan Diploma Muzik (Pengurusan Pentas) Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) namun minat dan kepuasan membuatkannya bertahan sehingga kini.

Merungkai kisahnya, Muhammad Shukur atau mesra disapa Uncle Shukur dalam kalangan anak asuhannya berkata, selepas tamat pengajian, dia terbabit secara bebas dalam penganjuran acara malah pernah bekerja selama setahun di sebuah taman tema pendidikan yang khusus untuk kanak-kanak.

“Kemudian, ada seorang kawan memperkenalkan saya kepada pihak pengurusan sebuah taska jadi cuba mohon kerja di situ dan diterima.

“Itulah permulaannya dan sebenarnya, saya ada pengalaman bantu emak dengan ayah menjaga anak saudara waktu masih belajar dulu.

“Jadi, pengalaman itu memang membantu dan tak ada masalah kerana saya memang suka melayan juga menjaga budak-budak.

“Cuma tak sangka boleh jadi pengasuh dan ada karakter cikgu yang disukai budak-budak malah teruja apabila pengetua beri tanggungjawab menjaga kanak-kanak berumur setahun enam bulan hingga tiga tahun ketika mula bertugas ,” katanya kepada Harian Metro.

Bercerita lanjut, bapa dua anak itu berkata, rutin kerjanya bermula 8.30 pagi hingga 6.30 petang dan buat masa ini ditugaskan mengasuh serta mengajar 30 kanak-kanak.

Pada awalnya, Muhammad Shukur mengakui gementar malah perasaan itu ada sehingga kini kerana baginya, bukan mudah menjaga anak yang bukan darah dagingnya namun pengalaman banyak membantunya untuk lebih bersedia.

“Cabaran awal pula daripada segi penerimaan dan kepercayaan ibu bapa kerana biasanya mereka hantar kepada pengasuh wanita.

“Jadi bila dapat tahu saya lelaki, ada ibu bapa yang berat nak terima hingga satu masa, mereka maklumkan kepada pengurusan minta saya jangan sentuh anak perempuan mereka.

“Ambil masa setahun juga nak diterima tapi disebabkan anak mereka bercerita yang baik mengenai saya selepas pulang ke rumah, ibu bapa mula percaya.

“Pendekatan saya adalah menggunakan ilmu waktu belajar di ASWARA dulu dengan menyelitkan elemen muzik iaitu bermain gitar ukulele bagi menarik minat anak asuhan sampai ada (anak asuhan) panggil saya uncle ukulele,” katanya.

Muhammad Shukur berkata, sehingga kini, tiada yang mempersoalkan pilihannya bekerja sebagai pengasuh sebaliknya isteri, Putri Halid, 31, dan keluarga memberi sokongan penuh.

“Isteri ini pun bekerja pengasas bersama taska jadi dia faham kerana kami dalam bidang yang sama.

“Kawan pun sama (memahami) cuma hanya segelintir yang hairan kerana ingat saya masih kerja dalam bidang penganjuran acara.

“Alhamdulillah, cukup makan pakai setakat ini… cuma sebelum ini, saya ada cuba buat kerja sebagai penghantar barang untuk tambah pendapatan.

“Tapi baru-baru ini, isteri beri idea tawarkan khidmat sebagai pengasuh persendirian iaitu selepas waktu kerja. Isteri bantu buat poster kemudian saya muat naik di Threads dan tak lama selepas itu, ada yang hubungi kerana mahu gunakan khidmat saya,” katanya yang terkejut dengan sambutan diterima.

Kata Muhammad Shukur, dia belum terfikir untuk beralih arah dengan mencari pekerjaan lain kerana apa dilakukan kini sudah sebati dengan jiwanya.

Baginya, pengalaman ditimba sangat mahal dan banyak memberinya pengajaran hidup terutama dalam menjadi seorang bapa yang lebih baik.

“Anak asuhan itu yang banyak mengajar saya sebenarnya jadi selagi khidmat diperlukan, saya akan terus bekerja.

“Begitu juga dengan khidmat sebagai pengasuh persendirian kerana niat saya adalah membantu ibu bapa yang memerlukan seseorang menjaga anak mereka,” katanya yang bekerja sebagai pengasuh dan guru di taska diusahakan ibu mentua dan isteri sejak enam tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top