PUTRAJAYA: Pengusaha kantin sekolah di seluruh negara wajar diberi penurunan kadar sewa kerana mereka juga menanggung kos operasi yang semakin meningkat.
Itu gesaan dibuat Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin susulan langkah kerajaan menurunkan kadar sewa premis oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) bermula bulan ini.
Radzi yang juga Naib Presiden Bersatu berkata, beliau mahu kerajaan menawarkan langkah sama terhadap pengusaha kantin di seluruh negara.
“Saya berharap pendekatan ini turut merangkumi pengusaha kantin sekolah di seluruh negara yang juga berdepan tekanan kos operasi.
“Tekanan demi tekanan yang dihadapi oleh peniaga, khususnya PMKS, akibat daripada konflik perang di timur Tengah, termasuk kenaikan mendadak kos operasi, tidak boleh dipandang ringan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, kerajaan tidak perlu rasa malu untuk menggunakan pendekatan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.
Radzi berkata, ketika wabak Covid-19 sebelum ini, setiap langkah yang dibuat oleh Kerajaan PN adalah memberi keutamaan kepada peniaga bagi memastikan golongan itu terus dapat bertahan dalam situasi ekonomi yang sukar.
“Selepas 67 hari konflik perang di Timur Tengah berlangsung, akhirnya Perdana Menteri umumkan. Orang putih kata, ‘better late than never’.
“Pada 20 Mac lalu iaitu pada hari ke-21 konflik, saya telah keluarkan kenyataan bertajuk ‘Perang di Timur Tengah: Rakyat terkesan, peniaga terkesan’ tetapi keerajaan masih bersahaja,” katanya.
Ketika itu, katanya, tiada satu pendekatan menyeluruh oleh kerajaan bagi membantu peniaga-peniaga, khususnya PMKS, sebelum keadaan semakin meruncing.
Kerajaan hari ini mengarahkan semua agensi Persekutuan termasuk MARA dan UDA menurunkan kadar sewa premis perniagaan mulai bulan ini bagi membantu peniaga kecil mengurangkan kos operasi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, gesaan turut diberikan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri supaya turut menurunkan kadar sewa premis masing-masing bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup.-UTUSAN




