mhafis@mediaprima.com.my
Petaling Jaya: Penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan 17/21, di sini, petang ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 2.08 petang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 1.45 tengah hari membabitkan sebuah Proton X70 dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 70-an dan sebuah motosikal ditunggang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an.
“Siasatan awal mendapati pemandu kereta berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan lalu melanggar motosikal terbabit.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pemandu kenderaan terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tindakan lanjut.
“Ujian saringan awal air kencing dan ujian alkohol terhadap pemandu itu didapati negatif.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Sivam@Siva Muniandy di talian 03-79662222 atau hadir ke balai polis berhampiran.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelakkan kemalangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




