am@hmetro.com.my
SEMPENA meraikan ulang tahun tiga dekad, kumpulan muzik popular Indonesia, Ungu bakal menganjurkan Konsert Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 5 September depan.
Konsert istimewa itu dijangka mengubat kerinduan peminat serta penghargaan kepada mereka yang terus menyokong kumpulan itu sejak mengukir nama pada 1996.
Vokalis Ungu, Pasha, 46, berkata, pembabitan dalam bidang politik tidak menjejaskan komitmennya bersama kumpulan legenda itu.
Menurut Pasha, walaupun setiap anggota sibuk dengan urusan kehidupan masing-masing tetapi mereka tetap mengutamakan projek bersama kumpulan Ungu.
“Setiap kali ada projek karya baharu atau konsert, kami semua akan berkumpul. Itu yang buat kami masih bertahan dalam industri muzik sampai hari ini.
“Semangat kebersamaan itu dikukuhkan dengan disiplin dalam berkarya termasuk memastikan mereka terus menghasilkan lagu baharu secara konsisten.
“Paling tidak, setiap tahun kami akan usahakan untuk ada karya termasuk lagu baharu yang memang sudah menjadi tradisi kumpulan ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert berkenaan di sini.
Selain Pasha, kumpulan Ungu menampilkan Enda (gitar), Oncy (gitar), Makki (bass) dan Rowman (dram).Hadir sama, pengarah konsert iaitu Zairul Addry Helmy daripada COMs Creative Studio.
Ditanya sama ada mereka pernah bergaduh pula, Enda, 50, berkata, selalunya mereka akan berbincang dan saling membantu untuk menangani perbezaan pendapat sepanjang tiga dekad bersama.
“Biasalah, dalam mana-mana kumpulan, masalah akan sentiasa ada tapi kami berlima akan duduk berbincang bersama untuk selesaikannya.
“Prinsip yang dipegang sejak dulu, kami boleh bergaduh tapi jangan bubar kumpulan,” katanya.
Mengulas kelainan dan pemilihan lagu untuk konsert berkenaan, kata Pasha, ia membabitkan refleksi perjalanan muzik mereka sejak awal penubuhan hingga karya terbaharu mereka.
“Kami akan sampaikan lebih 20 lagu tetapi tidak hanya bergantung pada populariti lagu itu di platform digital tetapi turut mengambil kira reaksi sebenar peminat ketika persembahan secara langsung.
“Ada lagu yang mendapat jumlah tontonan tinggi di YouTube, tapi bila dipersembahkan di konsert, penonton tidak menyanyi bersama kami. Sebaliknya ada lagu yang biasa tapi bila didendangkan, semua penonton ikut menyanyi.
“Kami juga mahu sampaikan repertoire lagu-lagu yang benar-benar mewakili perjalanan seni dari awal sampai hari ini, selain susunan muzik baharu dan konsep persembahan berbeza buat penonton ,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




