Tereus melangkah biarpun kemunculan bakat baharu

Tereus melangkah biarpun kemunculan bakat baharu

mohamadridzuan@hmetro.com.my

BUKAN sengaja mereka cerita, kemunculan penyanyi baharu termasuk dari kalangan Gen Alpha tidak pernah mengganggu gugat populariti penyanyi terkenal, Datuk Awie.

Pada usianya 58 tahun, Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman masih kekal diminati peminat. Buktinya, dia tidak pernah duduk diam memenuhi undangan demi undangan yang diterima saban minggu.

Pada masa sama, penyanyi kumpulan Wings ini juga sering didesak peminat untuk tampil beraksi secara eksklusif khas buat mereka yang kekal setia menyokong dari dulu sehingga kini.

Legenda rock tanah air ini ternyata tidak menghampakan mereka apabila bakal tampil dengan konsert berskala mega, Awie Rock King – Last Man Standing 2026 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Merdeka pada 12 September depan.

Ia semestinya mengukir sejarah baharu dalam industri muzik serta sejarah peribadi Awie kerana konsert anjuran Bombbay Legend Worldwide dengan kerjasama Ultimate Media ini adalah sebuah produksi epik yang menghimpunkan 40 tahun perjalanan seni beliau sebagai ikon rock negara.

“Saya menghargai peminat, peluang serta rezeki yang Allah bagi. Apabila seorang kawan, ‘brother’ saya berminat anjurkan konsert ini, saya panjatkan syukur kepada Allah kerana rezeki tidak putus.

“Saya kena teruskan perjuangan ini. Saya perlu teruskan kehidupan. Terima kasih saya ucapkan sekali lagi kepada Bombbay Legend Worldwide, yang membuka laluan dan memberi peluang untuk saya terus berkarya.

“Saya nak beri penghormatan (tribute) kepada peminat. Sebenarnya, saya sangat mengagumi Bombbay. Saya kenal dia dah lebih 40 tahun. Dia bukan penganjur yang biasa-biasa,” katanya.

Menurutnya, Bombbay atau nama sebenarnya Zamberi Shaari bukan hanya menyuruhnya datang ke konsert untuk membuat persembahan dan kemudian pulang.

Tetapi individu itu juga tahu kehendaknya yang apabila terbabit dengan sesuatu persembahan, akan tampil dengan satu tema atau konsep tertentu.

“Dia datang dengan satu konsep yang berbeza dan luar biasa bagi saya. Jadi saya tidak perlu lagi nak kacau idea atau konsep yang dia nak buat. Dia dah bentangkan semuanya, saya rasa itu memudahkan kerja saya juga.

“Terima kasih banyak-banyak kepada Bombbay sebab tidak menyusahkan kepala saya untuk fikir fasal konsep. Sangat mudah sebenarnya. Apa-apa pun, komunikasi itu penting.

“Ada benda yang kita tidak tahu atau tidak faham, kita cuba lakukan dan kalau saya tidak tahu, saya akan bertanya. Jadi tekanan (pressure) ini saya harap akan membuahkan hasil yang bagus,” katanya.

Awie berkata, perbincangan untuk merealisasikan konsert ini mengambil masa enam bulan dan Stadium Merdeka dipilih kerana mempunyai pengalaman beraksi di situ semasa Konsert Wings 30 Tahun pada November 2015.

Bagaimanapun dia tetap melahirkan kerisauan terhadap venue ikonik pilihan Bombbay yang pernah mencipta sejarah dengan persembahan mega seperti mendiang Michael Jackson, Metallica, Scorpions dan ramai lagi.

“Saya pun risau, sebenarnya tanggungjawab besar di Stadium Merdeka ini. Tapi macam mana Bombbay ini percaya dan berfikir, itu di luar jangkaan saya bila dia ajukan untuk buat konsert di Stadium Merdeka.

“Saya rasa saya tidaklah sehebat nama-nama besar yang disebut tadi. Tapi bila dia yakin saya boleh pikul tanggungjawab ini, saya bersyukur. Insya-Allah kita cuba bagi yang terbaik dan sepuas mungkin. Itu janji saya.

“Namun kebimbangan saya cuma satu iaitu kesihatan. Yang lain Insya-Allah okay. Kalau kesihatan terganggu, macam tiba-tiba kena buasir masa itu (ketawa). Tapi kalau tengok fizikal sekarang, saya akan cuba sedaya upaya.

“Bila saya masuk studio nanti, saya akan ‘berkurung’ dan buat latihan vokal serta stamina secara intensif selama tiga bulan. Cuma faktor cuaca yang panas dan hujan ini yang kita tak boleh jangka,” katanya.

Bombbay selaku Pengarah Eksekutif Bombbay Legend Worldwide pula berkata, konsert ini akan menampilkan kelainan luar biasa dengan kehadiran empat kumpulan pemuzik (Superfriends) berbeza dan sembilan penyanyi jemputan (Star Superfriends) yang akan membawakan lebih 30 buah lagu hits sepanjang zaman.

“Tajuk ‘Last Man Standing’ adalah simbolik kepada keteguhan Datuk Awie yang masih berdiri teguh mempertahankan identiti seninya meskipun setelah empat dekad mengharungi pelbagai fasa jatuh bangun dalam industri.

“Kami mahu konsert ini menjadi sebuah ‘masterpiece’ . Dengan penglibatan puluhan pemuzik berkaliber yang dibahagikan mengikut kepakaran genre seperti rock dan pop, setiap segmen akan mempunyai identiti serta jiwa yang tersendiri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top