ANKER lancar butik fizikal pertama di Asia Tenggara

ANKER lancar butik fizikal pertama di Asia Tenggara

saufi@mediaprima.com.my

Syarikat teknologi global, ANKER Innovations mencipta satu lagi pencapaian penting dalam pengembangan serantaunya apabila memperkenalkan kedai butik pertama Asia Tenggara di negara ini.

Kedai fizikal di IOI City Mall, Putrajaya menjadi platform baharu untuk pengguna merasai sendiri ekosistem produk ANKER secara menyeluruh.

Pembukaan ini menandakan langkah strategik ANKER dalam memperkukuh kehadirannya di pasaran tempatan, selepas sekian lama bergantung kepada platform e-dagang dan saluran runcit sedia ada.

Pengurus Negara ANKER Malaysia, Victor Liao berkata, Malaysia adalah pasaran utama di rantau ini dan pendekatan pengalaman fizikal ini mampu mendekatkan lagi jenama dengan pengguna.

“Kedai butik ini menghimpunkan beberapa jenama di bawah ANKER Innovations seperti ANKER, soundcore, eufy dan eufyMake dalam satu lokasi.

“Pengunjung bukan sahaja boleh melihat produk, malah berpeluang mencuba sendiri pelbagai teknologi termasuk pengecas pantas, peranti audio berkualiti tinggi, sistem rumah pintar dan teknologi kreatif seperti pencetakan 3D.

“Selain itu, ruang interaktif seperti zon cetakan UV turut disediakan bagi membolehkan pelanggan memperibadikan produk mengikut citarasa masing-masing,” katanya.

Menerusi tawaran produk, ANKER terus mengekalkan reputasinya sebagai peneraju global dalam teknologi pengecasan mudah alih, manakala soundcore memfokuskan kepada pengalaman audio imersif.

Jenama eufy pula menampilkan penyelesaian rumah pintar berasaskan teknologi AI, termasuk robot vakum dan sistem keselamatan rumah, manakala eufyMake membuka ruang kepada inovasi kreatif pengguna.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top