BATU PAHAT: Pemandu van warga emas yang terlibat melanggar Nur Aini Umairah Mohd. Fareez, 8, sehingga maut di depan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong, Batu Pahat semalam direman tiga hari.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, perintah reman terhadap suspek berusia 60 tahun itu dikeluarkan Majistret, Nurasidah A. Rahman.
“Lelaki itu direman bermula hari ini hingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Sebelum ini, Shahrulanuar Mushaddat dilaporkan berkata kenderaan dipandu suspek melanggar mangsa yang berada di laluan hadapan pintu pagar.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta organ dalaman dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan,” katanya.



