Syarat penternakan babi di Selangor: Jauh dari penduduk, guna teknologi moden – Fahmi

Syarat penternakan babi di Selangor: Jauh dari penduduk, guna teknologi moden – Fahmi

nooratiqah.sulaiman@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan Persekutuan menetapkan kawasan penternakan khinzir di Selangor hanya boleh dilaksanakan di kawasan baharu yang jauh dari penempatan penduduk dan sumber air.

Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata penternakan haiwan itu juga perlu menggunakan teknologi moden bagi mengawal pencemaran.

Katanya, tetapan itu dibuat selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sembah maklum Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

“Kerajaan Persekutuan mengambil pendirian bahawa sebarang kawasan penternakan khinzir hanya boleh dilaksanakan di kawasan baru yang terletak jauh dari kawasan perumahan.

“Ia juga perlu jauh dari sumber kritikal seperti aliran air, sungai dan seumpamanya, serta dengan penggunaan teknologi tinggi yang mampu mengurus isu sisa dan pencemaran dengan sangat baik,” katanya dalam sidang media mingguan, hari ini.

Sebelum ini, Sultan Sharafuddin bertitah, baginda tidak berkenan sebarang bentuk penternakan babi sama ada berskala besar atau kecil dijalankan di mana-mana daerah dalam negeri Selangor.

Pendirian itu diizahirkan baginda menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Setiausaha Sulit Datuk Mohamad Munir Bani, berhubung isu projek penternakan babi berskala besar di Bukit Tagar, Hulu Selangor.

Dalam isu berasingan, Fahmi berkata Jemaah Menteri turut membincangkan berkaitan rumah-rumah ibadat yang tidak berdaftar.

“Perdana Menteri mengarahkan Kementerian Perpaduan Negara menyelaras perbincangan lanjut bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Kementerian Dalam Negeri serta Jabatan Wilayah Persekutuan bagi mencari penyelesaian menyeluruh terhadap isu berkenaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top