KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan aktivis politik, Syarul Ema Rena Abu Samah bagi merujuk dua persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan.
Permohonan itu berhubung dakwaan beliau tidak dibenarkan mendapatkan khidmat peguam ketika disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Hakim Mahazan Mat Taib membuat keputusan itu selepas mendapati isu sama ada Syarul Ema Rena atau lebih dikenali sebagai Ratu Naga, ditahan atau sebaliknya masih menjadi pertikaian fakta yang perlu diputuskan melalui perbicaraan.
Sehubungan itu, mahkamah memutuskan permohonan Syarul Ema Rena tidak melepasi ambang yang ditetapkan di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Mahkamah turut menetapkan 11 Mei ini untuk pengurusan kes secara e-Review bagi menentukan tarikh perbicaraan kes berkenaan.
Prosiding hari ini dihadiri peguam Latheefa Koya yang mewakili Syarul Ema Rena, manakala Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Nur Irmawatie Daud mewakili Peguam Negara.
Pada 14 Januari lalu, Syarul Ema Rena selaku plaintif memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang di bawah seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Dua persoalan undang-undang itu ialah sama ada Seksyen 28A(3), (8) dan (9) Kanun Tatacara Jenayah adalah tidak sah atau menyalahi undang-undang atau tidak berperlembagaan kerana bercanggah dengan Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan.
Persoalan kedua pula ialah, sama ada sekatan terhadap akses kepada peguam atas permintaan oleh orang yang ditahan sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 28A(3), (8) dan (9) Kanun Tatacara Jenayah merupakan suatu tindak balas yang tidak seimbang terhadap objektif menjalankan siasatan polis dan oleh itu bercanggah dengan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.
Terdahulu Syarul Ema Rena memfailkan saman pemula pada 26 Februari 2024 dengan menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, SPRM dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Dalam saman itu, plaintif memohon perisytiharan bahawa beliau mempunyai hak di sisi undang-undang menurut Perkara 5 Perlembagaan (kebebasan diri) untuk diwakili oleh peguam apabila diperiksa secara lisan dan disoal mengikut Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM 2009.
Beliau juga memohon perisytiharan, bahawa penafian haknya untuk diwakili peguam menyalahi undang-undang dan tidak berperlembagaan kerana melanggar Perkara 5 dan Perkara 8 (kedudukan sama rata di sisi undang-undang). – UTUSAN




