Kerajaan Malaysia akan menggunakan saluran diplomatik dengan Kerajaan Norway berhubung isu pembekalan peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) bagi kapal Littoral Combat Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Kontrak perolehan NSM sudah dimeterai
Kementerian Pertahanan melalui menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan pihak mereka mengambil maklum laporan portal Malaysia Defence berkaitan isu tersebut yang melibatkan syarikat Kongsberg Defence & Aerospace.
Dalam masa sama, kementerian menjelaskan bahawa kontrak perolehan NSM sememangnya telah dimeterai bagi melengkapkan keupayaan aset LCS TLDM.

Perubahan pendirian Kerajaan Norway beri kesan pelaksanaan kontrak
Namun begitu, perubahan pendirian Kerajaan Norway berkaitan kelulusan eksport pertahanan turut memberi kesan terhadap pelaksanaan kontrak berkenaan.
Sehubungan itu, Malaysia memilih pendekatan diplomatik bagi mendapatkan penjelasan lanjut serta membincangkan langkah yang sewajarnya demi menjaga kepentingan negara.

Kementerian Pertahanan turut menegaskan bahawa kesiapsiagaan dan keperluan strategik pertahanan negara akan terus diberi keutamaan tanpa sebarang gangguan.
Pada masa sama, hubungan dua hala Malaysia dan Norway akan terus dipelihara dengan baik, manakala sebarang tindakan susulan akan dibuat secara teliti berpandukan kepentingan strategik negara.



