Dua penumpang maut akibat hantavirus dikesan mengembara ke 3 negara sebelum berlayar dengan MV Hondius

Dua penumpang maut akibat hantavirus dikesan mengembara ke 3 negara sebelum berlayar dengan MV Hondius

Buenos Aires, Argentina: Dua penumpang kapal persiaran Belanda yang meninggal dunia akibat hantavirus dipercayai mengembara ke Chile, Uruguay dan Argentina sebelum menaiki MV Hondius, kata Kementerian Kesihatan Argentina semalam.

Kementerian itu berkata, pasangan suami isteri berkenaan tiba di Argentina pada 27 November 2025, kemudian pergi ke Chile dan Uruguay sebelum kembali ke Argentina pada 27 Mac lalu untuk menaiki MV Hondius pada 1 April.

Kementerian Kesihatan Argentina tidak membuat andaian di mana pasangan itu mungkin dijangkiti virus terbabit.

Strin Andes bagi virus itu yang disahkan pada dua penumpang kapal persiaran, belum dikesan di wilayah Tierra del Fuego di Ushuaia sejak tahun 1996, kata pegawai.

Strin Andes adalah satu-satunya yang mempunyai bukti penularan dari manusia ke manusia.

Kementerian Kesihatan Argentina memaklumkan pihaknya sedang menghantar pakar ke Ushuaia untuk menangkap dan menguji tikus bagi mengesan virus ‘di kawasan yang berkaitan dengan laluan’ pasangan Belanda berkenaan.

Mangsa lelaki meninggal dunia di atas kapal pada 11 April dengan mayatnya diturunkan di Saint Helena, sebuah pulau di selatan Atlantik.

Isterinya pula yang berasa tidak sihat turut meninggalkan kapal di Saint Helena. Dia kemudiannya dipindahkan ke sebuah hospital di Johannesburg, di mana dia meninggal dunia.

Sementara itu, mayat seorang penumpang Jerman yang turut meninggal dunia dipercayai akibat wabak sama masih berada di atas kapal.

WHO sebelum ini berkata, bahawa tiga orang iaitu dua anak kapal dan seorang lagi yang disyaki dijangkiti, sudah dipindahkan dari kapal itu, serta dikuarantin di luar kepulauan Cape Verde.

Mereka telah dipindahkan ke Belanda.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top