Kenny tak setuju dakwaan Malaysia tandus pemain perseorangan lelaki

Kenny tak setuju dakwaan Malaysia tandus pemain perseorangan lelaki

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak melihat negara ketandusan bakat dalam acara perseorangan lelaki meskipun prestasi semasa pemain dikecam hebat susulan persembahan tidak begitu meyakinkan di Piala Thomas 2026, baru-baru ini.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh menegaskan Malaysia sebenarnya memiliki ramai pemain berbakat dan mampu menyinar di pentas antarabangsa, namun nasib kurang menyebelahi pemain perseorangan lelaki apabila beberapa pemain dihimpit masalah kecederaan serius.

Katanya, situasi itu sedikit sebanyak menjejaskan perkembangan dan konsistensi pemain untuk berada pada tahap terbaik serta menyebabkan perancangan barisan jurulatih turut terganggu.

“Saya tak bersetuju kalau kata kita tak cukup bakat. Saya rasa kita cukup bakat.

“Mungkin kita kurang bernasib baik daripada segi acara perseorangan kerana sudah ada bakat, kemudian cedera pula.

“Semua tahu ada beberapa pemain yang cedera, ada yang masih dalam proses pemulihan dan ada baru pulih. Jadi saya rasa bukan kita kekurangan bakat, cuma kurang bernasib baik dari segi itu,” katanya.

Antara pemain menjadi tumpuan adalah Ng Tze Yong yang dilihat mampu berada dalam kelompok terbaik dunia, namun mengalami pelbagai kecederaan termasuk kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL).

Malah, kecederaan dialami itu menyebabkan Tze Yong terlepas peluang merebut tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Mengulas perkara itu, Kenny menyatakan BAM sudah memberikan yang terbaik kepada pemain dan tanggungjawab untuk membuktikan kemampuan akhirnya terletak di bahu atlet ketika berada di gelanggang.

“Kita sudah beri seberapa banyak bantuan, kemudahan dan sokongan kepada pemain. Tapi bila di gelanggang, itu di atas pemain dan bukan di bawah kawalan kami.

“Apa yang penting, setiap kali mereka bermain kita harap mereka dapat beri yang terbaik dan saya percaya mereka akan lakukan perkara itu,” katanya.

Selain itu, Kenny turut menyatakan BAM sentiasa bergerak aktif dalam mencari bakat di seluruh Malaysia dan mempunyai sistem pencarian bakat yang menyeluruh menerusi pemantauan kejohanan kebangsaan serta proses Talent Identification (TID) secara berkala bagi memastikan pemain terbaik diserap ke dalam program kebangsaan.

“Sudah pasti scouting ini penting sebab kita bukan ada satu kejohanan kebangsaan saja, kita ada banyak kejohanan sepanjang tahun. Jurulatih memang sentiasa memantau dan pada masa sama buat scouting.

“Kita ada sistem TID yang agak ‘robust’ dan setiap tahun kita buat pemilihan sekurang-kurangnya dua kali setahun untuk cari pemain terbaik negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top