puterialia@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) kini secara rasmi memperkenalkan penjenamaan dalam Bahasa Inggeris sebagai Malaysian Artistes’ Association bagi memperkukuhkan profil penggiat seni tempatan di peringkat antarabangsa.
Keputusan itu dicapai secara sebulat suara dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa Persatuan Karyawan Malaysia yang diadakan di Panggung 1, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Petaling Jaya, di sini, hari ini.
Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez berkata, pindaan nama itu bertujuan memudahkan urusan pengambilan pelakon tempatan untuk projek luar negara, selain memperkukuh kredibiliti persatuan di mata dunia.
“Kita gunakan nama dalam Bahasa Inggeris kerana mahu mendapatkan peluang pekerjaan dari luar negara untuk pelakon kita. Apabila pihak luar mahu membuat bayaran atau kerjasama, mereka lebih faham dengan penjenamaan ‘Malaysian Artistes’ Association’.
“Ia lebih baik untuk pasaran antarabangsa. Mereka (pihak luar) juga sedia membantu memberikan latihan kepada pelakon kita. Jadi, dengan jenama ini, orang luar akan lebih jelas dengan siapa mereka bekerjasama,” katanya ketika ditemui semasa Mesyuarat Agung Luar Biasa Persatuan Karyawan Malaysia hari ini.
Selain penjenamaan semula, mesyuarat berkenaan turut meluluskan pendaftaran ahli secara percuma bagi tahun pertama untuk menarik lebih ramai penggiat seni menyertai persatuan tanpa bebanan kewangan.
“Kita mahu berikan keahlian percuma selama setahun kepada ahli baru. Sebelum ini ramai yang bertanya apa manfaat apabila menyertai persatuan jika perlu membayar. Jadi, kali ini tiada beban, hanya perlu mendaftar sahaja,” katanya kepada Harian Metro.
Dalam pada itu, KARYAWAN turut mengumumkan penubuhan Biro Lakonan bagi memberi fokus khusus kepada pembangunan kerjaya pelakon, memandangkan sebelum ini lebih tertumpu kepada penyanyi dan pemuzik.
Menurut Freddie, langkah itu penting bagi memastikan pelakon tempatan lebih mahir dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan landskap industri digital masa kini.
“Industri lakonan sudah berubah. Sekarang ada TikTok, drama mikro dan drama vertikal yang menjadi masa depan industri perfileman.
“Kita tidak boleh ramal apa akan berlaku, malah mungkin satu hari nanti panggung wayang juga akan ditutup kerana orang lebih gemar menonton di telefon.
“Setakat ini, kira-kira 60 pelakon sudah mendaftar dalam kumpulan ini. Menerusi biro ini, kita mahu mereka luahkan perasaan, beri cadangan dan ambil tindakan untuk bantu kerjaya masing-masing agar lebih kompetitif,” katanya.
Mesyuarat Agung berkenaan dihadiri kira-kira 40 ahli KARYAWAN itu memperlihatkan semangat penyatuan penggiat seni di bawah satu bendera demi kelangsungan masa depan industri kreatif negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




