TEL AVIV – Israel dilaporkan bakal membelanjakan hampir AS$730 juta (RM2.8 bilion) untuk memperkukuh jentera propagandanya susulan kemerosotan imej negara itu di peringkat global akibat perang di Gaza dan konflik serantau yang semakin meluas.
Menurut laporan The Jerusalem Post, peruntukan diplomasi awam Israel atau hasbara meningkat lebih empat kali ganda berbanding AS$150 juta (RM580 juta) yang diperuntukkan tahun lalu.
Jumlah itu juga dilaporkan hampir 20 kali lebih tinggi berbanding perbelanjaan sebelum 2023.
Peruntukan besar itu dimasukkan dalam belanjawan negara Israel yang diluluskan pada Mac lalu dan akan disalurkan menerusi Direktorat Diplomasi Awam Nasional yang bertanggungjawab membentuk persepsi masyarakat antarabangsa terhadap Israel.
Peningkatan mendadak perbelanjaan propaganda itu berlaku ketika Israel semakin dianggap sebagai negara tidak bertamadun oleh pengkritik dan pertubuhan hak asasi manusia susulan perang di Gaza.
Langkah itu juga dilihat mencerminkan kebimbangan Tel Aviv terhadap kemungkinan sokongan politik Barat terhadap Israel semakin merosot terutama di Amerika Syarikat (AS), sekutu dan pembekal senjata utama negara itu.
Tinjauan Pew Research Center yang diterbitkan pada April mendapati 60 peratus rakyat dewasa AS kini mempunyai pandangan negatif terhadap Israel berbanding 53 peratus tahun lalu.
Hanya 37 peratus menyatakan pandangan positif terhadap negara tersebut.
Kajian itu turut menunjukkan 80 peratus penyokong Parti Demokrat dan kumpulan bebas cenderung Demokrat memandang Israel secara negatif.
Dalam kalangan Republikan bawah usia 50 tahun pula, 57 peratus mempunyai pandangan tidak memihak kepada Israel.
Kajian Gallup pada Februari lalu turut menunjukkan sokongan rakyat AS kini lebih cenderung kepada Palestin.
Seramai 41 peratus responden menyatakan simpati kepada rakyat Palestin berbanding 36 peratus kepada Israel.
Institut Kajian Keselamatan Nasional Israel pula memberi amaran mengenai ‘krisis mendalam’ terhadap kedudukan Israel di AS terutama dalam kalangan generasi muda, penyokong Demokrat dan sebahagian komuniti Yahudi.
Laporan berasingan turut menyebut peningkatan pengasingan diplomatik dan boikot ekonomi secara perlahan apabila syarikat, institusi akademik dan organisasi masyarakat sivil semakin keberatan mengekalkan hubungan dengan Israel.
Menteri Luar Israel, Gideon Sa’ar dilaporkan menubuhkan unit khas bagi membentuk naratif antarabangsa selain memperluaskan kempen digital, rangkaian penyokong pro-Israel dan kerjasama dengan pempengaruh media sosial.
Israel turut dilaporkan mengupah firma berkait bekas strategis kempen Donald Trump, Brad Parscale bagi mengendalikan kempen media sosial pro-Israel dengan nilai kontrak AS$9 juta (RM35 juta).
Laporan turut menyebut kewujudan ‘bilik perang media’ yang memantau liputan Israel di ratusan media serta ribuan rujukan harian di platform digital.
Perbelanjaan tambahan juga dilaporkan disalurkan kepada rangkaian evangelis, firma perhubungan awam swasta serta kempen yang menyasarkan universiti, golongan muda dan pempengaruh media sosial.
Penganalisis melihat peningkatan besar perbelanjaan itu menunjukkan Israel menganggap kemerosotan imej global bukan sekadar masalah hubungan awam, tetapi ancaman strategik terhadap sokongan politik dan ketenteraan Barat. – Agensi



