Isu penternakan khinzir: “Cukuplah, hormati titah Tuanku. Hentikan polemik ini” -Akmal Saleh

Isu penternakan khinzir: “Cukuplah, hormati titah Tuanku. Hentikan polemik ini” -Akmal Saleh

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh menggesa agar isu berkaitan penternakan khinzir di Selangor segera dihentikan susulan titah Tunku Sultan Sharafuddin Idris Shah yang kekal dengan pendirian untuk tidak membenarkan perkara itu dilakukan di negeri tersebut.

Bukandan cadangan politik tapi pendirian tegas

Dalam kenyataan yang dikongsi di media sosial, Akmal menegaskan bahawa titah Sultan Selangor bukanlah cadangan politik tetapi pendirian tegas sebagai seorang pemerintah demi menjaga keharmonian rakyatnya.

“Titah Tuanku bukan cadangan politik. Titah Tuanku adalah pendirian jelas seorang Raja Pemerintah demi menjaga kepentingan negeri, rakyat, alam sekitar dan keharmonian masyarakat.
“Malulah menjadi pemimpin rakyat kalau soal asas seperti hormat kepada Sultan pun masih mahu dipolitikkan. Ini bukan soal siapa menang debat. Ini soal siapa tahu adat hidup bernegeri,” ujarnya.

Jangan sampai cabar institusi Raja

Beliau juga menggesa agar pihak-pihak bertanggungjawab untuk berhenti berdalih demi menjaga kepentingan politik sehingga boleh mencabar institusi Raja secara terbuka.

Akmal turut menambah supaya tidak menyempitkan isu terbabit dengan mengaitkan sentimen 3R kerana ia jelas melibatkan tentang alam sekitar serta kepentingan ekonomi negeri.

“Kalau sudah jelas Tuanku tidak berkenan, berhentilah berdalih. Jangan kerana mahu menjaga kepentingan politik sempit, institusi Raja pula mahu dicabar secara terbuka.
“Pemimpin yang baik mendengar titah dan memahami kebimbangan rakyat. Pemimpin yang angkuh pula mencari jalan untuk melawan, walaupun sudah ditegur dengan begitu jelas.
“Jangan sempitkan isu ini kepada sentimen kaum atau agama semata-mata. Tuanku telah menyebut dengan jelas tentang alam sekitar, kos, sumber tanah terhad dan kepentingan ekonomi negeri. Itu semua hujah rasional, bukan emosi,” tegasnya.

Hormatilah Tuanku

Sehubungan dengan itu, beliau meminta agar semua pihak berhenti daripada polemik ini dan hormati titah Sultan Selangor agar rakyat tidak memandang negatif dengan apa yang terjadi ketika ini.

“Cukuplah. Hormati titah Tuanku. Hentikan polemik ini. Jangan sampai rakyat melihat kamu bukan sahaja gagal memimpin, tetapi gagal beradab sebagai pemimpin dalam sebuah negeri beraja,”ujarnya lagi.

Terdahulu, Sultan Selangor dalam titahnya menyatakan pendirian bahawa tidak berkenaan sebarang penternakan khinzir dijalankan di mana-mana kawasan di negeri Selangor.

Baginda bertitah keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira implikasi penternakan babi yang boleh menyebabkan pencemaran tanah, udara serta risiko pencemaran sumber air sungai melalui pelepasan najis dan sisa kumbahan.

Baginda turut menzahirkan kebimbangan bahawa aktiviti berkenaan boleh menjejaskan kawasan tadahan air dan sungai yang menjadi sumber bekalan air bersih kepada kira-kira sembilan juta penduduk di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sumber: Facebook Akmal Saleh

 

Scroll to Top