
Guthrie mencatat keuntungan bersih sebanyak RM560 juta bagi suku pertama tahun ini.
SHAH ALAM – SD Guthrie Berhad (Guthrie) mencatat keuntungan bersih sebanyak RM560 juta bagi suku pertama tahun ini menerusi keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) RM807 juta.
Prestasi itu disokong sumbangan lebih kukuh daripada pelbagai segmen perniagaan kumpulan berkenaan.
Bagaimanapun, hasil kumpulan menurun tiga peratus kepada RM4.69 bilion berbanding RM4.82 bilion dalam tempoh sama tahun lalu, manakala untung bersih susut satu peratus daripada RM567 juta kepada RM560 juta.
Segmen Huluan mencatat PBIT sebanyak RM529 juta walaupun terkesan dengan penurunan harga minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) direalisasikan masing-masing sebanyak 10 peratus dan lapan peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya.
Sementara itu, segmen Hiliran menerusi SD Guthrie International (SDGI) merekodkan peningkatan PBIT sebanyak 43 peratus tahun ke tahun kepada RM109 juta, dipacu jualan lebih tinggi dan pemulihan margin positif di Asia Pasifik dan Eropah selain sumbangan lebih kukuh daripada syarikat usaha sama.
Segmen Pembangunan Perindustrian pula menyumbang PBIT sebanyak RM160 juta hasil penjualan tanah secara langsung kepada pihak ketiga.
Pengerusi Guthrie, Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani berkata, portfolio perniagaan kumpulan yang pelbagai membolehkan syarikat mencatat prestasi berdaya tahan walaupun berdepan konflik berterusan di Timur Tengah.
“Barisan kepimpinan baharu kumpulan ini juga menawarkan kestabilan dalam menghadapi cabaran makroekonomi semasa serta memacu aspirasi pertumbuhan syarikat,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Sementara itu Pengarah Urusan Kumpulan, Mohd Haris Mohd Arshad menegaskan, Guthrie akan terus memberi tumpuan kepada produktiviti, kualiti dan pengurusan kos bagi mengekalkan momentum prestasi kukuh syarikat.
“Walaupun keadaan pasaran masih tidak menentu, syarikat berada pada kedudukan baik untuk terus berkembang dengan memanfaatkan prestasi kewangan semasa serta strategi perniagaan yang berkesan,” ujarnya.
Bagi prospek tahun kewangan 2026, Guthrie menjangkakan harga MSM terus disokong dalam tempoh terdekat susulan risiko bekalan berkaitan cuaca dan konflik di Timur Tengah termasuk gangguan rantaian bekalan global akibat penutupan Selat Hormuz.



