Kerajaan dijangka menanggung subsidi produk petroleum hampir RM40 bilion bagi tahun 2026 sekiranya harga pasaran semasa bahan api terus kekal.
Memetik laporan daripada Buletin TV3, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan, peningkatan jumlah subsidi itu membolehkan warganegara Malaysia berusia 16 tahun ke atas terus menikmati petrol RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter.
Subsidi bagi RON95 meningkat
Menurut beliau, perbelanjaan subsidi bagi RON95 dan diesel meningkat dengan ketara dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini susulan kenaikan harga minyak di pasaran.
“Kerajaan telah menanggung subsidi hampir RM800 juta sebulan bagi RON95 dan diesel pada Januari dan Februari 2026, sebelum melonjak kepada sekitar RM5 bilion sebulan pada Mac dan April 2026.
“Sekiranya harga pasaran semasa ini kekal, kerajaan dijangka akan menanggung jumlah subsidi produk petroleum hampir RM40 bilion bagi tahun 2026,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor mengenai jumlah terkini peruntukan subsidi petrol dan diesel.

Manfaat subsidi bukan hanya dinikmati individu
Mengulas lanjut, Anwar memaklumkan manfaat subsidi bukan hanya dinikmati individu, malah turut disalurkan kepada sektor strategik dan kritikal termasuk nelayan yang menikmati diesel bersubsidi pada harga RM1.65 seliter, selain penerima Bantuan Tunai BUDI Agri-Komoditi dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 1.0.
Beliau menambah, Bantuan Tunai BUDI Agri-Komoditi turut dinaikkan secara interim daripada RM200 kepada RM400 sebulan bagi meringankan beban lebih 210,000 petani dan pekebun kecil di Semenanjung Malaysia susulan peningkatan harga minyak dunia yang dipacu ketegangan geopolitik serta konflik di Asia Barat.

Selain itu, SKDS 1.0 pada harga RM1.88 seliter diberikan kepada pengangkutan awam termasuk bas sekolah dan bas ekspres, selain diperluaskan kepada sektor logistik dan pengangkutan barangan yang layak di Sabah dan Sarawak, sekali gus membolehkan kenderaan komersial membeli diesel pada harga bersubsidi RM2.15 seliter.
“Pada masa sama, kumpulan sasar terpilih seperti pengusaha bot, pengguna janakuasa dan pam air untuk kegunaan kediaman di kawasan pedalaman yang turut memerlukan pembelian diesel bagi kegunaan harian.
“Individu ini juga layak menerima BUDI Diesel melalui mekanisme MyKad, tertakluk syarat kelayakan permohonan ditetapkan kerajaan negeri dan agensinya seperti Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Pejabat Residen, Pejabat Daerah atau Unit Perancang Ekonomi Negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata bekalan petroleum negara ketika ini kekal stabil dan mencukupi, manakala kerajaan akan terus memantau kedudukan fiskal serta keupayaan subsidi bagi memastikan bantuan dapat diteruskan secara mampan dan bersasar, khususnya kepada golongan yang paling terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.
Sumber: Buletin TV3 (Adha Ghazali)




