Shanghai: Hasrat seorang wanita warga China untuk berhubung semula dengan bekas gurunya dari Amerika Syarikat (AS) yang banyak mempengaruhi pandangan hidupnya mencetuskan usaha dalam talian bagi mengesan lelaki berkenaan.
Wang Yu, pekerja komuniti di Shanghai, menamatkan pengajian dalam bidang pengurusan pelancongan di Universiti Normal China Timur pada 2005.
Evans, guru bahasa Inggeris banyak membantunya sepanjang tiga tahun pengajian menerusi bimbingan percuma di luar waktu kelas.
Memetik laporan South China Morning Post, Evans turut menggunakan wang sendiri untuk mendirikan studio foto kecil di kawasan sambutan tetamu bagi merakam kenangan bersama pelajarnya.
Kira-kira dua dekad lalu, Evans dikenali dengan rambut kelabu keriting, pakaian kot yang kemas serta kebolehannya bertutur bahasa Mandarin dengan lancar. Wang menganggarkan bekas gurunya itu kini berusia dalam lingkungan 70-an.
Gaya pengajaran Evans juga meninggalkan kesan mendalam kepada Wang apabila meja dan kerusi di dalam kelas disusun secara bulatan manakala ruang tengah digunakan pelajar untuk menyanyi, menyampaikan ucapan dan membuat pertunjukan silap mata. Beliau turut pernah berkongsi kegembiraan membuat ladu bersama pelajarnya.
Pendekatan berkenaan membantu Wang meningkatkan keyakinan berbahasa Inggeris, malah mempengaruhi caranya bekerja di kemudian hari.
Pada 2019, ketika mempromosikan komuniti mesra kanak-kanak, Wang meniru susun atur bilik darjah berbentuk bulatan itu supaya kanak-kanak dapat melukis dan berinteraksi di bahagian tengah.
Evans juga mempunyai minat mendalam terhadap budaya China. Nama Chinanya, Wen Xiaofan, mencerminkan minatnya terhadap aktiviti berlayar selain kekagumannya terhadap falsafah pemikir purba China, Zhuangzi.
Wang pernah meneroka Shanghai bersama dua anak perempuan Evans ketika satu cuti musim panas dan foto yang dirakam bersama kekal menjadi antara kenangan paling berharga buatnya.
Bagi Wang, Evans bukan sekadar guru sebaliknya mentor dan pembimbing yang mengubah pandangan hidupnya, malah memberikan nama Inggeris ‘Grace’ kepadanya sempena nama tengah nenek Evans.
Namun, hubungan mereka terputus selepas Wang menamatkan pengajian apabila telefon bimbitnya hilang. Setiap kali sambutan Hari Guru, Wang akan menghantar hadiah kepada pendidik yang pernah memberi kesan dalam hidupnya tetapi Evans menjadi satu-satunya guru yang gagal dihubungi semula.
Pada Ogos lalu, Wang memuat naik surat dalam bahasa Inggeris di platform RedNote dengan harapan dapat mengesan Evans.
Hantaran itu kemudian tular dan mendorong bekas pelajar lain berkongsi kenangan serta petunjuk termasuk nama penuh Evans, Curtis Roy Evans dan tahun kelahirannya yang dianggarkan pada 1953.
Antara kenangan yang dikongsi termasuk Evans yang sentiasa membawa kamus bahasa Inggeris tebal, menyanyikan lagu ‘Scarborough Fair’ dan ‘You Are My Sunshine’ bersama pelajar selain pertunjukan silap mata serta pesanan supaya sentiasa memakai topi keledar ketika menunggang basikal.
Pengguna dalam talian yang menetap di AS pula mencadangkan Evans mungkin pernah tinggal di Hawaii sebelum berpindah ke lokasi lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd

