am@hmetro.com.my
Melaka: Pelayan bar didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan memandu kereta di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kemalangan dan mengorbankan penunggang motosikal wanita, Selasa lalu.
Tertuduh, S Darshan, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.
Mengikut pertuduhan, Darshan didakwa memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kemalangan dan kematian Nur Aleya Natasha Roslan, 21.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Ujong Pasir berhadapan Kondominium Pasir Mutiara di sini, kira-kira jam 2.30 pagi, 5 Mei lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 15 tahun serta denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM100,000, jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan sesuatu lesen memandu selama 10 tahun daripada tarikh sabitan.
Timbalan Pendakwa Raya Syauqi Mardia Baharudin yang melakukan pendakwaan mencadangkan jaminan RM10,000 serta syarat tambahan iaitu lesen memandu tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhamad Mawardi Zainudin yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh berpendapatan RM2,200 dan menanggung bapa berusia 58 tahun.
Majistret Uthman kemudian membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu perbicaraan selesai dan menetapkan 10 Jun depan untuk sebutan semula kes.
© New Straits Times Press (M) Bhd




