am@hmetro.com.my
Shah Alam: Cuba seludup beratus kilogram bunga ganja bernilai lebih RM12.6 juta melalui Terminal Satu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kegiatan itu dibongkar Polis Selangor hasil kejayaan menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan merampas sejumlah 156.7 kilogram (kg) bunga ganja menerusi serbuan berasingan di KLIA dan Kota Warisan, Sepang.
Dalam serbuan 28 dan 30 April lalu, tujuh warga asing berusia 18 hingga 27 tahun termasuk seorang wanita ditahan selepas dipercayai menjadi ‘keldai dadah’.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, dalam serbuan pertama 28 April lalu, Polis Bantuan MAHB KLIA mengesan empat bagasi mencurigakan semasa melalui mesin imbasan bagasi.
Katanya, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik KLIA kemudian menahan tiga suspek lelaki dan satu wanita warga asing berumur 18 hingga 27 tahun di sekitar Terminal KLIA.
“Pemeriksaan ke atas keempat-empat bagasi itu menemui 64 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat disyaki dadah jenis bunga ganja dengan anggaran berat berjumlah 67.2kg.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM5.4 juta. Dalam serbuan ini juga pihak polis menyita wang tunai RM580, mata wang asing berjumlah 20 Euro serta seutas jam tangan jenama mewah dianggarkan bernilai RM80,000.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati tiga suspek positif dadah THC manakala seorang negatif dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Beliau berkata, kes kedua membabitkan rampasan dua bagasi mencurigakan semasa melalui mesin imbasan bagasi di Terminal Satu KLIA pada 30 April lalu.
Katanya, pemeriksaan ke atas kedua-dua bagasi tersebut berjaya merampas 59 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat disyaki dadah jenis bunga ganja dengan anggaran berat 29.5kg.
“Seorang lelaki warga asing berumur 20 tahun turut ditahan di sekitar terminal berkenaan. Saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah THC.
“Hasil maklumat risikan daripada serbuan kedua, dua lagi suspek lelaki warga asing berumur 19 dan 25 tahun ditahan di kediaman di Kota Warisan, Sepang.
“Polis kemudian merampas empat bagasi berisi 109 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat disyaki dadah jenis bunga ganja dengan anggaran berat 60kg,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
