KKM Pantau Hantavirus Bawaan Tikus, Jangkitan Boleh Bawa Maut

KKM Pantau Hantavirus Bawaan Tikus, Jangkitan Boleh Bawa Maut

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang memantau rapat perkembangan penularan Hantavirus yang dilaporkan berlaku melibatkan sebuah kapal persiaran antarabangsa.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan berada di dalam kapal persiaran terbabit.

“Mutakhir ini, KKM mengambil maklum laporan penularan jangkitan Hantavirus yang berpunca daripada sebuah kapal persiaran antarabangsa.

“Saya ingin memberi jaminan kepada masyarakat bahawa tiada rakyat Malaysia yang berada di dalam kapal persiaran tersebut,” katanya melalui kenyataan di Facebook hari ini.

Menurut Dr Dzulkefly, hasil komunikasi langsung bersama pihak berkuasa kesihatan Singapura pagi tadi mengesahkan dua kru kapal warga negara itu didapati negatif Hantavirus, manakala proses pengesanan kontak sedang dijalankan.

Katanya, walaupun situasi semasa masih terkawal dan tidak melibatkan rakyat negara ini, pemantauan berterusan tetap dilaksanakan bagi memastikan kesiapsiagaan sistem kesihatan berada pada tahap tertinggi.

Dalam masa sama, Dr Dzulkefly turut menerangkan Hantavirus merupakan virus bawaan tikus yang boleh menjangkiti manusia melalui udara tercemar dengan sisa haiwan berkenaan seperti najis, air kencing atau air liur.

“Jangkitan ini tidak wajar dipandang remeh kerana komplikasinya berpotensi membawa maut, dengan kadar kematian bagi Sindrom Paru-paru Hantavirus (HPS) boleh mencecah 30 hingga 40 peratus,” katanya.

Dr Dzulkefly turut mengingatkan orang ramai supaya tidak panik, sebaliknya terus mengamalkan langkah pencegahan termasuk memastikan kebersihan rumah dan tempat kerja sentiasa terjaga bagi mengelakkan ancaman haiwan perosak.

“Memandangkan tiada ubat antivirus khusus buat masa ini, langkah pencegahan dan kawalan kendiri adalah perisai pertahanan kita yang paling ampuh.

“Rakyat tidak perlu panik, namun kita mesti kekal berwaspada,” katanya.

Beliau turut menggesa seluruh masyarakat supaya merujuk siri infografik yang disertakan di akaun Facebook miliknya dan sentiasa memastikan kebersihan kediaman serta premis kerja terpelihara daripada ancaman haiwan perosak.


Scroll to Top