Bapa luah syukur, Marissa Dania sambung belajar dengan adik -“Ambil jurusan yang sama”

Bapa luah syukur, Marissa Dania sambung belajar dengan adik -“Ambil jurusan yang sama”

Pelakon, Norman Hakim meluahkan rasa syukur apabila dua anak perempuannya, Marissa Dania dan Maria Danisha bakal melanjutkan pengajian bersama di sebuah universiti, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kehidupan mereka.

Perancangan asal nak daftar adik je

Menurut Norman menerusi perkongsian di Instagram, perancangan asal hanya melibatkan pendaftaran untuk Maria Danisha, namun segalanya berubah selepas pihak universiti mencadangkan laluan pendidikan bersama buat kedua-dua beradik itu.

“Perancangan asal adalah janji temu pendaftaran untuk Danisha. Tapi pihak universiti cadangkan satu laluan pendidikan bersama buat Danisha dan kakaknya, Marissa, bermula dari program Diploma hingga ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.
“Ia dibuat selepas melihat keputusan SPM Marissa sebelum ini pun memberangsangkan dan penerimaannya sangat positif, maka perancangan asal terus berubah,” katanya.

Ambil jurusan berbeza

Difahamkan, kedua-duanya akan mengikuti jurusan Pengurusan dan Pentadbiran Perniagaan sebelum memilih pengkhususan berbeza di peringkat Ijazah Sarjana Muda nanti.

“Kedua-duanya akan mengambil jurusan yang sama. Hanya pada peringkat Bachelor akan lebih khusus pada Perakaunan buat Danisha dan Sumber Manusia buat Marissa, insya-ALLAH,” kongsi Norman.

Rezeki tak disangka, dua beradik sambung belajar bersama

Menurut Norman, perancangan pendidikan tersebut dianggap sebagai aturan terbaik dan rezeki buat keluarga mereka, apatah lagi kedua-dua anaknya dapat belajar dalam bidang yang sama sebelum bergerak ke pengkhususan masing-masing.

Perkongsian itu turut mendapat perhatian apabila Norman dilihat hadir bersama anak-anaknya bagi urusan pendaftaran di universiti.

Dalam pada itu, Norman turut mengakui tanggungjawabnya sebagai bapa semakin besar selepas ini, memandangkan kos pengajian sehingga ke peringkat ijazah bukanlah kecil.

“Alhamdulillah syukur nikmat, segala perancangan yang baik datang hanya dari-NYA. Papa kena kerja lebih bijak dan efisien lagi lepas ni sebab tengok kos pembelajaran hingga ke peringkat Bachelor ni pun bukan kaleng-kaleng.
“Insya-ALLAH akan ada rezeki anak-anak ini buat papa. Bismillahi tawakkaltu alallah,” ujarnya.

Difahamkan, sesi pengajian Marissa dan Danisha dijangka bermula sekitar suku ketiga tahun ini.

Sumber: Instagram normanhakim_786

Scroll to Top