Pasangan remaja mengaku sembunyi kelahiran, gugurkan kandungan

Pasangan remaja mengaku sembunyi kelahiran, gugurkan kandungan

am@hmetro.com.my

Melaka: Pasangan kekasih mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan menyembunyikan kelahiran dan mengambil ubat untuk menggugurkan kandungan, bulan lalu.

Tertuduh, Adam Harith Ahmad, 18, dan kekasihnya berusia 17 tahun 10 bulan membuat pengakuan itu pada prosiding berasingan di hadapan Majistret Sharda Sheinha Mohd Suleiman dan Uthman Abd Ghani.

Adam Harith didakwa atas pertuduhan menyembunyikan kelahiran dengan membungkus mayat bayi yang sudah meninggal dunia ketika dilahirkan teman wanitanya di dalam but kereta di sebuah rumah di Kampung Batu Gajah, KM 29, Merlimau, Jasin, pada 11.40 malam, 25 April lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya jika disabitkan.

Timbalan Pendakwa Raya Syaza Nur Sharif mencadangkan jaminan RM15,000 terhadap tertuduh, namun peguam Mohd Farid Abdul Aziz merayu jumlah itu dikurangkan atas alasan tertuduh adalah pesalah muda dan bakal dijamin oleh abangnya.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di hadapan Uthman, remaja perempuan didakwa atas pertuduhan mengambil ubat jenis ‘Misoprostol’ sebelum kelahiran bayi, dengan niat untuk menghalang bayi berkenaan dilahirkan dalam keadaan hidup.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam, pada tarikh sama, kira-kira 10 pagi dan dituduh mengikut Seksyen 315 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani menawarkan jaminan RM3,000, namun peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhamad Mawardi Zainudin yang mewakili tertuduh merayu jumlah itu dikurangkan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dalam kalangan ahli keluarga dan kes untuk sebutan laporan sosial pada 9 Julai depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top