
Ramai pengguna kini beralih kepada kenderaan EV. – Foto: Agensi
JAKARTA – Menteri Kewangan Indonesia, Purbaya Yudhi Sadewa menyasarkan pelaksanaan insentif kenderaan elektrik (EV) termasuk motosikal dan kereta elektrik bermula Jun depan bagi mengurangkan penggunaan bahan api susulan bekalan yang terhad akibat konflik di Asia Barat.
“Buat masa ini, kami akan mengira dan menyediakan bajet. Yang pasti, saya mahu ia dilaksanakan bermula awal Jun,” katanya pada sidang media di Jakarta pada Khamis.
Purbaya menegaskan bahawa tujuan dasar insentif EV itu adalah untuk mengubah corak penggunaan rakyat daripada bahan api kepada elektrik.
Beliau berkata, langkah tersebut dijangka dapat mengurangkan import bahan api dan minyak mentah.
“Ia akan membantu mengukuhkan daya tahan ekonomi kita. Usah hanya fokus kepada subsidi itu sendiri. Matlamat utama adalah untuk menjadikan ekonomi kita lebih kukuh dari segi tenaga,” ujarnya.
Kerajaan Indonesia mahu menyediakan insentif EV untuk 100,000 kereta elektrik dan 100,000 motosikal elektrik pada tahun ini.
Bagi motosikal EV, kerajaan memperuntukkan insentif sebanyak 5 juta rupiah (RM1,128) bagi setiap unit.
Kereta EV pula akan menerima insentif cukai nilai tambah (VAT) yang ditanggung kerajaan antara 40 hingga 100 peratus.
Insentif VAT tersebut hanya terpakai kepada EV dan tidak melibatkan kenderaan hibrid.
Jumlah insentif bergantung kepada jenis bateri yang digunakan sama ada berasaskan nikel atau bukan nikel.
“Insentif berbeza untuk jenis kereta. Ada yang mendapat VAT 100 peratus, ada juga 40 peratus. Ia bergantung kepada bateri,” katanya.
Sebelum ini, beliau menjelaskan EV berasaskan nikel akan menerima subsidi lebih besar sebagai usaha memanfaatkan nikel yang merupakan salah satu komoditi utama Indonesia. – Agensi



