Syahir idam dua gelaran di Piala Dunia Sepak Takraw 2026

Syahir idam dua gelaran di Piala Dunia Sepak Takraw 2026

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tekong nombor satu negara, Syahir Rosdi ingin meneruskan momentum cemerlang dengan meletakkan sasaran juara dalam dua acara disertainya di Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa bermula 16 hingga 23 Mei ini.

Namun, Syahir yang akan beraksi dalam acara regu dan regu berpasukan mengakui ia bukan tugas mudah buat pemain negara apatah lagi beraksi di halaman sendiri dan turun dengan status juara bertahan dalam acara regu pada edisi 2024 lalu.

Justeru, katanya, tekanan dihadapi berbeza kerana skuad negara kini bukan lagi memburu kemenangan pertama ke atas Thailand, sebaliknya mahu memastikan momentum kemenangan itu dapat diteruskan seperti mana mereka lakukannya pada Sukan Sea Thailand 2025, Disember lalu.

“Untuk Piala Dunia ini saya dapat main dua acara dan kalau boleh saya memang mahu juara dalam kedua-dua acara itu.

“Saya tahu bukan mudah sebab memang ada tekanan tambahan apabila kita bermain sebagai tuan rumah.

‘Bila main di tempat sendiri, kita bukan sekadar mahu kekalkan prestasi tetapi perlu tingkatkan lagi permainan,” katanya selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pemain Sepak Takraw Kebangsaan ke Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, malam tadi.

Syahir antara nadi utama apabila servis kencangnya membantu Malaysia muncul juara acara regu pada Piala Dunia 2024 lalu.

Malah, dia terus menjadi igauan ngeri buat Thailand apabila meraih kejuaraan dalam acara regu dan regu berpasukan pada temasya Sukan Sea hujung tahun lalu.

Selain itu, tekong berusia 30 tahun itu berwaspada dengan ancaman Thailand dan menjangkakan skuad Gajah Putih itu akan tampil lebih agresif bagi merampas semula gelaran terutama dalam acara regu berpasukan.

“Saya rasa Thailand memang akan beri kejutan sebab dalam sepak takraw mereka ada macam-macam corak permainan dan itu yang agak susah nak dibaca.

“Kami tahu mereka akan bawa skuad terbaik untuk Piala Dunia kali ini sebab mereka mahu ambil semula gelaran itu. Kalau boleh kami memang tak mahu bagi mereka menang,” katanya.

Mengulas persiapan pasukan, Syahir menjelaskan skuad negara kini giat memperkemaskan aspek pertahanan dan serangan menjelang kejohanan yang berbaki kira-kira seminggu lagi.

“Barisan pemain masih sama seperti ketika Sukan Sea lalu dan tiada perubahan besar.

“Cuma kami kena tingkatkan lagi intensiti permainan sebab semua pasukan terutama Thailand pasti datang dengan persediaan terbaik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top