Bayi lelaki maut kemalangan ketika ikut ibu bapa ambil gaji

Bayi lelaki maut kemalangan ketika ikut ibu bapa ambil gaji

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Bayi lelaki berusia lima bulan yang maut dalam kemalangan di Baling, semalam, dipercayai dibawa bersama ibu bapanya untuk mengambil gaji daripada majikan bapanya.

Ibu saudara bayi itu, Noor Hidayah Abu Hassan, 36, berkata, Muhammad Airiel Zafran Mohamad Amirul Faiz adalah anak adiknya, Mohamad Amirul Faiz Abu Hassan, 27, bersama isteri dikenali sebagai Fauziah, 41.

Beliau berkata, ibu mangsa kini sedang dirawat di Hospital Baling kerana mengalami pendarahan di kepala, selain berada dalam keadaan trauma.

“Mak dia sudah sedar tetapi ‘duk’ cari anaknya (mangsa)… ayah dia okay, cuma luka pada hidung saja.

“Ketika kejadian, mereka dalam perjalanan untuk mengambil gaji bapa arwah tetapi tak sangka terbabit kemalangan itu,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan seorang bayi lelaki maut, manakala ibu bapanya cedera apabila kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan lori dipandu lelaki positif dadah di hadapan simpang Kampung Sadek, Jalan Baru Kulim/Baling/Gerik, kira-kira 10.30 malam Khamis.

Kereta Perodua Myvi mereka dipercayai dilanggar dari belakang oleh lori berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top