Agong berkenan saksi demonstrasi Sukhoi Su-57E oleh Hero of Rusia

Agong berkenan saksi demonstrasi Sukhoi Su-57E oleh Hero of Rusia

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menyaksikan demonstrasi jet pejuang pelbagai peranan generasi kelima, Sukhoi Su-57E di Lapangan Terbang Antarabangsa Zhukovsky di Moscow, Rusia.

Jet pejuang itu dipandu juruterbang ujian terkenal Rusia, Sergei Bogdan, 64, yang juga penerima gelaran Hero of Russia.

Menurut Facebook rasmi Sultan Ibrahim, Bogdan adalah juruterbang ujian utama syarikat pengeluar pesawat Sukhoi sejak tahun 2000 dan dikenali sebagai individu penting dalam program pembangunan pesawat tempur generasi kelima Rusia.

“Demonstrasi udara selama hampir tujuh minit itu mempamerkan keupayaan teknologi ketenteraan moden Persekutuan Rusia termasuk kecanggihan sistem radar serta kemampuan operasi pelbagai peranan dimiliki jet pejuang berkenaan.

“Seri Paduka Baginda turut berkenan dipersembahkan taklimat mengenai jet pejuang berkenaan selain meluangkan masa melihat ruangan dalaman Su-57E sebaik ia mendarat selepas melakukan demonstrasi udara,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut oleh Timbalan Pengarah Perkhidmatan Persekutuan bagi Kerjasama Ketenteraan-Teknikal Rusia Mikhail Petukhov.

Mengiringi Seri Paduka Baginda ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Duta Besar Malaysia ke Rusia Datuk Cheong Loon Lai.

Sultan Ibrahim berangkat tiba di Moscow pada Rabu lalu atas undangan khas Kerajaan Rusia sebagai tetamu kehormat sempena sambutan Ulang Tahun Hari Kemenangan esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top