
Teh Maimunah (kiri) bersama Ismail melihat Laporan Tahunan Bersepadu Kumpulan 2025 yang bertemakan ‘Resilient Stronger’ pada Mesyuarat Agung Tahunan Bank Islam ke-43 yang diadakan di Kuala Lumpur.
PEMEGANG saham Bank Islam Malaysia Berhad meluluskan semua resolusi yang dibentangkan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-43 kumpulan itu yang berlangsung pada Khamis.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz berkata, kelulusan itu dicapai ketika kumpulan terus memperkukuh fokus strategik terhadap pertumbuhan mampan, transformasi digital dan perbankan berasaskan nilai.
Meskipun berdepan persekitaran operasi yang mencabar sepanjang 2025 susulan ketidaktentuan ekonomi global dan tekanan margin sektor perbankan, beliau menjelaskan bahawa Bank Islam berjaya menamatkan aspirasi strategik LEAP25 dengan prestasi kukuh serta melepasi sebahagian besar sasaran prestasi utama bagi tahun kewangan berakhir Disember 2025.
“Jumlah aset Bank Islam meningkat kepada RM104.1 bilion, melepasi sasaran RM100 bilion dan mencatatkan pertumbuhan 7.6 peratus tahun ke tahun.
“Pembiayaan kasar pula meningkat 6.4 peratus kepada RM74.7 bilion, didorong pertumbuhan Perbankan Runcit Kumpulan sebanyak 4.8 peratus dan Perbankan Institusi Kumpulan sebanyak 12.1 peratus,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Bank Islam akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan perniagaan teras, meningkatkan keupayaan digital dan menyediakan penyelesaian berfokuskan pelanggan yang selaras dengan prinsip syariah.
Menurutnya, Bank Islam juga akan melaksanakan agenda strategik yang lebih meluas bagi meningkatkan daya tahan dan daya saing jangka panjang termasuk memperluaskan bahagian perbankan institusi, mempelbagaikan aliran pendapatan serta merasionalisasikan fungsi sokongan bagi meningkatkan kecekapan operasi.
“Kumpulan juga sedang membangunkan seni bina teknologi bank yang akan menyediakan asas yang berdisiplin dan berskala bagi pertumbuhan jangka sederhana hingga panjang.
“Usaha ini bertujuan memastikan pelaburan digital, produk dan sistem pada masa hadapan adalah rapi, berupaya beroperasi bersama serta selaras dengan objektif strategik kumpulan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Bank Islam, Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata, bank berkenaan berada pada kedudukan yang baik untuk terus menyampaikan nilai inklusif dan mampan kepada pihak berkepentingan serta negara.
“Lembaga Pengarah kekal komited menegakkan tadbir urus yang kukuh dan memajukan amalan perbankan yang bertanggungjawab,” katanya.



