Kereta harga berjuta tapi liat bayar insurans

Kereta harga berjuta tapi liat bayar insurans

am@hmetro.com.my

Seremban: Miliki kereta berjenama mewah dengan harga mencecah jutaan ringgit, tetapi segelintir pemilik kenderaan ini dikesan liat untuk membayar insurans dan cukai jalan.

Malah terdapat sebahagian daripada mereka yang bergelar ‘Datuk’ dan golongan profesional bebas memandu di jalan raya tanpa rasa bersalah.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Jasyindar Singh Sihdu berkata, sepanjang 2025 pihaknya menyita 143 pelbagai jenis kenderaan dalam kategori mewah menerusi Ops Khas Pengarah.

“Manakala bagi tahun ini sehingga April lalu sebanyak 45 kenderaan mewah disita. Antara pencapaian menonjol Ops Khas Pengarah adalah tindakan tegas ke atas kenderaan mewah yang didapati melanggar undang-undang jalan raya.

“Bagi 2025 antara kenderaan yang disita adalah Porche (7), Audi (11), Toyota Alphard dan Vellfire (21), Mercedes Benz (30), BMW (35) serta lain-lain kenderaan (39),” katanya ketika sidang media, hari ini.

Beliau berkata, kenderaan mewah yang disita bagi tempoh Januari hingga April tahun ini pula membabitkan Porche (3), Audi (4), Toyota Alphare dan Vellfire (3), Mercedes Benz (15), BMW (12) serta lain-lain kenderaan (8).

Katanya, kebiasaannya pemilik yang kenderaan mewah yang ditahan terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti usahawa, ahli perniagaan dan golongan profesional.

“Dalam satu kes kereta yang disita, pemiliknya seorang lelaki bergelar ‘datuk’ berusia lewat 40-an. Kesalahan yang selalu dikesan adalah cukai jalan dan insuran tamat tempoh.

“Sebab itu kenderaan mereka disita. Kereta jenama Porche juga kami pernah sita kerana kesalahan cukai jalan dan insurans tamat tempoh, itu yang buat kami tidak faham.

“Dapat beli kereta jenama Porche, tetapi tiada cukai jalan dan insuran. Itu mengelirukan kami,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top