Dua wanita dan lelaki warga Jordan ditahan, cuba seludup 6kg bunga ganja

Dua wanita dan lelaki warga Jordan ditahan, cuba seludup 6kg bunga ganja

am@hmetro.com.my

Tumpat: Dua wanita berketurunan Bajau dan Iban serta seorang lelaki warga Jordan ditahan bersama enam kilogram (kg) bunga ganja yang dipercayai diseludup dari Thailand.

Suspek berusia antara 35 hingga 51 tahun itu ditahan di Pangkalan Haram Masjid Taqwa, Kampung Simpangan, Pengkalan Kubor di sini, jam 4.30 petang semalam oleh pegawai dan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) menerusi Ops Taring Wawasan Kelantan.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, terdahulu pihaknya mengesan sebuah Mercedes Benz dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemerhatian mendapati seorang daripada suspek mengambil bungkusan lut sinar dari tepi sungai dan diletakkan dalam bonet hadapan serta but kereta.

“Pasukan kami segera memperkenalkan diri dan pemeriksaan yang dibuat menemui plastik lut sinar mengandungi ketulan daun-daun kering disyaki bunga ganja dengan anggaran berat kasar 1.3kg.

“Seterusnya, pemeriksaan di ruang simpanan but belakang menemui empat plastik lut sinar mengandungi ketulan daun-daun kering disyaki bunga ganja dengan anggaran berat kasar 4.7kg,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ahmad Radzi berkata, semua bunga ganja itu dianggarkan bernilai RM480,000 dan hasil soal siasat yang dibuat, barangan terbabit untuk dibawa ke Kuala Lumpur.

“Hasil soal siasat awal mendapati semua suspek mengakui dadah itu dalam kawalan mereka dan ini adalah kali pertama pengambilan di pangkalan haram berkenaan.

“Suspek pertama yang juga wanita berketurunan Bajau mengaku bertindak sebagai orang tengah yang menghubungkan pengedar dari Golok, Thailand dikenali sebagai ‘Abe’ dengan dua suspek lain untuk membawa dadah ke Kuala Lumpur.

“Upah sebanyak RM300 setiap kilogram akan dibayar melalui suspek pertama selepas penghantaran disempurnakan kepada seorang lelaki di Kuala Lumpur yang dikenali sebagai ‘Lee’.

“Semua suspek dan kenderaan rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top