am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor berlapang dada dengan tindakan penggantungan yang dikenakan Lembaga Disiplin BERSATU terhadapnya.
Menyifatkan tindakan itu dipercayai susulan kehadirannya dalam Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik bersama Datuk Seri Hamzah Zainudin baru-baru ini, Khlir bagaimanapun menerima keputusan itu namun tetap menjalankan tugasnya sebagai Ahli Parlimen seperti biasa.
“Terima sajalah dengan penggantungan ini, saya sudah jawab bahawa jumpa Hamzah sebab nak dengar sahaja apa beliau nak cakap, tiada apa-apa pun.
“Tapi ada juga tiga Ahli Parlimen yang berbuat perkara sama (jumpa Hamzah) tapi menerima notis amaran pelanggaran disiplin parti sahaja iaitu Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu), Zakri Hassan (Kangar) dan Kalam Salan (Sabak Bernam).
“Tak tahulah kalau memang tak suka dengan saya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Khlir berkata, kedudukan politiknya tidak begitu terkesan memandangkan kemenangannya sebagai Ahli Parlimen Ketereh pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 atas tiket PAS dan tiada kaitan dengan BERSATU.
Katanya, beliau juga tiada sebarang jawatan dalam BERSATU sekali gus menjadikan tindakan penggantungan itu tidak menjejaskannya.
“Saya bertanding dulu bukan atas (tiket) BERSATU (sebaliknya) kemenangan atas tiket PAS, penyokong pun orang PAS dan menang dengan majoriti besar, jadi tiada kena mengena.
“Lagipun saya bukan ada sebarang jawatan, bukan juga Ketua Bahagian, kalau ada jawatan boleh la nak gantung tapi saya rakyat biasa sahaja, tak mahu bergaduh dengan siapa-siapa, kita tunggu dan lihat,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Lembaga Disiplin BERSATU memecat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu, manakala tujuh lagi wakil rakyatnya digantung keahlian selama dua penggal pemilihan, berkuat kuasa serta-merta.
Notis tindakan disiplin itu bertarikh hari ini, ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Disiplin BERSATU, Datuk Mohd Radzi Manan.
Menurut notis itu, Lembaga Disiplin memutuskan tindakan pemecatan berkenaan di bawah Fasal 22.5 atas tindakan melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan BERSATU serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
© New Straits Times Press (M) Bhd




