PM Anwar tegas! Mat Sabu dedah Perdana Menteri tak benar subsidi ditarik sesuka hati

PM Anwar tegas! Mat Sabu dedah Perdana Menteri tak benar subsidi ditarik sesuka hati

Kerajaan menegaskan setiap keputusan berkaitan subsidi tidak boleh dibuat secara sewenang-wenangnya kerana kepentingan rakyat, khususnya melibatkan barangan keperluan dan makanan, kekal menjadi keutamaan utama.

Kerap berjumpa PM bincang keputusan tarik subsidi

Memetik laporan daripada Berita Harian, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menyatakan beliau beberapa kali bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan keputusan berkaitan penarikan subsidi telur ayam yang pada awalnya tidak dipersetujui kerana kebimbangan terhadap kenaikan harga.

Katanya, selepas perbincangan bersama penternak dan penjelasan terperinci diberikan, keputusan untuk menarik subsidi akhirnya dibuat dan tidak menyebabkan kenaikan harga seperti dijangka, malah berlaku lebihan bekalan.

“Perdana Menteri (Anwar) paling payah nak lawan dengan dia (mengenai) kenaikan harga ini.
“Dia tak setuju, dulu telur ayam, kita nak tarik subsidi, saya dengan pegawai-pegawai terpaksa jumpa dia berkali-kali dengan maklumkan yang kita nak tarik subsidi telur ayam.
“Dia tanya (nanti) tak naik harga ke? Selepas itu dia (berseloroh) dia kata Mat (Mohamad) kalau naik hang (awak) jaga.” Saya kata, tak…kita dah bincang dengan penternak,” katanya ketika berucap di perkarangan Pejabat AMANAH Pulau Pinang di Sungai Dua, malam tadi.

Kerajaan tak boleh bermusuhan dengan penternak

Mohamad menyatakan kerajaan juga tidak boleh bermusuhan dengan penternak kerana isu sebenar hanya melibatkan segelintir pihak, manakala majoriti industri masih boleh bekerjasama dengan baik.

Dalam pada itu, beliau berkata keadaan harga makanan asas di Malaysia masih berada pada tahap terkawal berbanding beberapa negara lain walaupun berdepan cabaran global termasuk konflik antarabangsa.

“Setakat ini, Alhamdulillah tiga bulan (perang Asia Barat) berlalu yang ia belum memberi kesan besar kepada Malaysia.
Harga sayur, ikan, saya pergi negara mana pun sekarang ini, duduklah hotel lima bintang ke apa salah satu saya melawat ialah pasar.
“Jika nak bandingkan harga di Indonesia, China, Korea dan Vietnam, pergi melawat pasar, tengok harga, barang makan ini semua (harga naik) tetapi tengok di Malaysia Alhamdulillah kita berada di negara yang agak baik sekarang ini.

“Ini yang kita nak, di mana kita (kerajaan) boleh tampung, sama seperti kita pesan (kepada rakyat) jangan beli beras cara mengejut dan rakyat ikut maka (harga) dapat kita kawal sekarang ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian (Nur Izzati Mohamad)

Scroll to Top