Chongqing: China memiliki beberapa infrastruktur paling mengagumkan di dunia, namun apabila menyentuh laluan yang mencabar, tidak banyak yang mampu menandingi keunikan Jalan Token Stone di Wuxi, lapor Oddity Central.
Terletak di celah dua tebing besar di daerah Wuxi, barat daya China, jalan zig-zag Lingpaishi menjadi penghubung utama Komuniti Tian Ping yang kecil dengan kawasan luar.
Jalan berkenaan hanya sepanjang 3.7 kilometer (2.29 batu) dari Kampung Tianping ke Jalan Wilayah 201, manakala bahagian zig-zagnya pula hanya berukuran 453 meter (m).
Bagaimanapun, jarak yang singkat itu sudah cukup untuk mencabar pemandu paling berpengalaman memandangkan bentuk muka buminya yang ekstrem.
Dibina pada 2012 sebelum diturap pada 2019, jalan zig-zag unik ini memerlukan kenderaan bergerak pada kelajuan sangat perlahan dan mengemudi setiap selekoh tajam dengan penuh berhati-hati.
Laluan itu bukan sahaja sangat sempit sehingga hampir mustahil untuk berpatah balik, malah kecuramannya boleh mencapai sehingga 36 peratus pada bahagian paling curam.
Bagaimanapun, jalan zig-zag berkenaan jarang sesak sekali gus membantu pemandu mengemudi selekoh dengan lebih baik memandangkan komuniti Tian Ping hanya terdiri daripada 137 orang daripada 37 keluarga.
Jalan Token Stone di Wuxi turut ditutup kepada lori, bas dan kenderaan yang menunda karavan besar kerana saiz kenderaan berkenaan tidak sesuai untuk laluan zig-zag yang sempit.
Malah, kenderaan kecil hanya boleh melalui selekoh itu dengan menggunakan ruang khas yang dibina di setiap sudut jalan bagi memudahkan pusingan.
Disebabkan tahap kecuraman yang tinggi, bahagian zig-zag di Jalan Lingpaishi itu hanya boleh dilalui dengan menggunakan gear satu sahaja.
Sistem jalan raya di China sememangnya terkenal dengan pelbagai infrastruktur luar biasa seperti lebuh raya di awan atau jalan terapung di tengah sungai, namun Lingpaishi kekal antara laluan yang menguji keberanian pemandu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




