Kuala Lumpur : Demam kotak misteri (blind box) kembali menggegar apabila siri terbaharu karakter popular, CRYBABY Cry Me An Ocean, dilancarkan secara rasmi di Sunway Pyramid bermula 14 hingga 24 Mei ini.
Dibawa khas oleh POP MART Malaysia, acara berskala besar ini bukan sahaja menawarkan koleksi unik, malah bakal menjadi sejarah tersendiri apabila pencipta karakter CRYBABY iaitu Molly, akan hadir ke Malaysia buat pertama kalinya.
Peminat teguh siri ini berpeluang menyertai sesi tandatangan eksklusif bersama artis berkenaan pada 16 Mei ini, satu peluang yang pastinya tidak akan dilepaskan oleh pengumpul tegar budaya pop moden.
Sebagai gimik pembukaan, sebuah instalasi inflatables CRYBABY bersaiz gergasi kini mula menghiasi pintu masuk Blue Entrance, Sunway Pyramid (berhampiran Sunway Lagoon) bermula hari ini.
Kehadiran karakter ikonik yang terkenal dengan elemen emosi “menangis” itu menjadi teaser awal untuk menarik perhatian pengunjung sebelum acara utama bermula di Orange Concourse.
“Kehadiran pop up berskala besar ini adalah satu pencapaian penting buat kami selari dengan peningkatan drastik populariti CRYBABY di rantau Asia Tenggara,” jelas POP MART Malaysia dalam satu kenyataan.
Bagi peminat yang mahu merasai pengalaman berbeza, Orange Concourse akan ditransformasikan sepenuhnya menjadi dunia bertemakan lautan yang diinspirasikan daripada siri terbaharu itu.
Selain boleh memburu kotak misteri eksklusif, pengunjung juga boleh menyertai sudut fotografi khas iaitu dengan bergambar pada hiasan kreatif bertemakan lautan.
Selain terbabit dalam aktiviti Interaktif seperti merasai sendiri pengalaman runcit unik yang direka khas untuk peminat anak patung koleksi.
Peminat yang bertuah juga berpeluang memenangi hadiah eksklusif seperti pelitup mata, skarf, dan pelekat eksklusif menanti dengan setiap pembelian bermula 15 Mei ini (sementara stok masih ada).
Bagi pengikut setia dunia POP MART, pastikan anda bersedia untuk ‘menyelam’ ke dalam emosi CRYBABY dan mendapatkan koleksi idaman sebelum ia licin disambar peminat lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd




