WASHINGTON – Perang berbulan-bulan dengan Iran mula memberi tekanan ekonomi kepada rakyat Amerika Syarikat (AS), terutama susulan kenaikan mendadak harga petrol yang menjejaskan kehidupan harian mereka.
Tinjauan ABC News/Washington Post/Ipsos yang dikeluarkan minggu lalu mendapati separuh rakyat AS menjangka harga petrol akan terus meningkat dalam tempoh setahun akan datang.
Empat daripada 10 responden pula berkata, keadaan kewangan mereka kini tidak sebaik ketika Presiden Donald Trump kembali ke Rumah Putih pada Januari 2025, manakala hampir satu perempat mengakui semakin ketinggalan dari segi kewangan.
Beberapa responden yang ditemu bual semula berkata, mereka kini bergelut untuk membayar keperluan asas dan kecewa dengan kepimpinan negara.
Jacob Olson, 28, dari Arkansas berkata, kenaikan harga petrol dan makanan menyebabkan kehidupannya semakin mencabar selepas kehilangan kerja sebagai pengurus gudang sebuah syarikat tenaga solar yang muflis.
Kini dia bekerja sendiri menghasilkan barangan kayu tempahan, Olson berkata, dia banyak berbelanja untuk petrol kerana perlu memandu menemui pelanggan.
“Satu hari pada satu masa. Satu langkah demi satu langkah. Begitulah boleh diringkaskan,” katanya.
Olson yang mempunyai dua anak kecil berkata, dia tidak lagi berbelanja untuk hiburan atau kemewahan kerana keutamaan kini hanya membayar bil.
Brenda Howard, 66, dari Texas pula berkata, dia tidak mampu lagi menikmati kemewahan seperti melancong atau makan di luar.
Disebabkan tidak memiliki kereta, Howard bergantung kepada perkhidmatan e-panggilan seperti Uber dan Lyft untuk ke tempat kerja serta membeli barangan harian.
Menurutnya, perjalanan ke kedai runcit boleh menelan kos kira-kira AS$30 (RM117).
“Ini bukan cara yang saya bayangkan untuk menghabiskan usia persaraan. Saya tidak pernah terfikir hidup akan menjadi perjuangan dari hari ke hari, kadang-kadang dari jam ke jam,” katanya.
Tinjauan itu turut mendapati lebih empat daripada 10 rakyat AS telah mengurangkan pemanduan atau perbelanjaan isi rumah, manakala 34 peratus mengubah rancangan perjalanan atau percutian.
Golongan berpendapatan rendah paling terkesan, dengan lebih separuh daripada isi rumah berpendapatan bawah AS$50,000 (RM196,049) setahun mengurangkan pemanduan dan perbelanjaan harian.
Seorang lagi penduduk Texas, Martha Davis, 66, berkata dia kini bergelut membayar keperluan asas termasuk petrol dan sewa rumah.
Davis yang menjaga anak kurang upaya perlu melakukan perjalanan sehingga 96 kilometer untuk temu janji perubatan.
“Saya dulu boleh pergi balik dengan AS$20 (RM78.42) atau AS$25 (RM98), tetapi sekarang hampir AS$70 (RM274),” katanya.
Kenaikan harga petrol dikaitkan dengan tindakan balas Iran menyekat Selat Hormuz, laluan penting pasaran minyak dunia.
Kira-kira 20 peratus minyak yang didagangkan di pasaran global biasanya melalui selat tersebut.
Tinjauan sama menunjukkan 61 peratus rakyat AS berpendapat keputusan pentadbiran Trump untuk berperang dengan Iran adalah satu kesilapan.
Trump sebelum ini memberi isyarat bercampur-campur berhubung harga petrol, termasuk menyatakan ia mungkin kekal atau meningkat sebelum pilihan raya pertengahan penggal, namun kemudian berkata harga akan turun mendadak selepas konflik diselesaikan.
Tekanan kewangan yang dirasai pengundi dijangka memberi kesan besar terhadap pilihan raya pertengahan penggal, ketika Demokrat dilihat berpeluang menambah sokongan. – Agensi



