KEPUTUSAN Thailand melakukan rombakan besar-besaran jelas bukan satu tindakan biasa dan memungkinkan ada ramuan baharu akan digunakan pasukan gergasi itu pada saingan Piala Dunia Sepak Takraw 2026.Perubahan drastik melibatkan barisan pemain, kejurulatihan malah struktur pengurusan pasukan lawan itu nyata menimbulkan tanda tanya sekali gus menuntut skuad negara untuk lebih berwaspada.Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Mohd Sumali Reduan mengakui, langkah drastik Thailand itu memberi isyarat jelas bahawa musuh tradisi negara tersebut sedang merangka misi besar untuk kembali mendominasi persada antarabangsa.”Ada beberapa tekong Thailand yang baharu selain perejam yang akan dibawa mereka pada kejohanan kali ini. Pemain-pemain lama pula ada yang digugurkan.”Rombakan ini bukan sahaja tertumpu kepada pemain, malah melibatkan perubahan dalam aspek kejurulatihan serta pengurusan pasukan mereka,” katanya.Sebelum ini, Malaysia melakar sejarah manis apabila menamatkan penguasaan panjang Thailand di Sukan SEA 2025 dengan merangkul pingat emas acara regu berpasukan.Malah, skuad negara juga dinobatkan juara acara regu pada Piala Dunia 2024, sekali gus meleburkan dominasi lawan.Dalam pada itu, Mohd Sumali memberi peringatan kepada barisan pemain negara agar tidak terlalu selesa atau dibuai keyakinan tinggi walaupun beraksi laman sendiri di Stadium Titiwangsa bermula 16 hingga 23 Mei ini.”Kita memang ada kelebihan (beraksi di tempat sendiri), tetapi saya boleh katakan keadaan masih lagi 50-50.”Dalam sukan, kita tidak boleh terlalu yakin. Apa yang penting, setiap pemain perlu memberikan segala-galanya di gelanggang untuk memastikan kemenangan,” ujarnya.Berdasarkan undian Piala Dunia Sepak Takraw 2026, Malaysia selaku juara bertahan acara regu diundi dalam Kumpulan A bersama Jepun dan Singapura.Bagi acara regu berpasukan, skuad negara bakal berdepan cabaran India dan Myanmar dalam Kumpulan B.Sementara itu, skuad kuadran pula berdepan laluan getir dalam Kumpulan C yang turut dihuni oleh India, Korea Selatan dan Singapura.



