Trump dakwa AS perlukan dua minggu untuk serang semua sasaran di Iran

Trump dakwa AS perlukan dua minggu untuk serang semua sasaran di Iran

Washington, Amerika Syarikat: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkata, negaranya hanya memerlukan tempoh dua minggu untuk menyerang “setiap sasaran” di Iran sambil mendakwa negara itu sudah “tewas dari sudut ketenteraan.”

Dalam wawancara bersama wartawan bebas, Sharyl Attkisson yang disiarkan pada Ahad dan dirakam minggu lalu, Trump turut menyifatkan NATO sebagai “harimau kertas” selain menuduh sekutu Washington gagal membantu dalam kempen ketenteraan terhadap Tehran.

Kenyataan itu dibuat ketika Iran dilaporkan memberi maklum balas terhadap cadangan terbaru AS bagi menamatkan konflik yang bermula pada 28 Februari lalu susulan serangan AS dan Israel ke atas Iran.

“Mereka tewas dari sudut ketenteraan. Dalam fikiran mereka sendiri mungkin mereka tidak tahu, tetapi saya rasa mereka tahu,” kata Trump dalam wawancara itu sebelum menambah: “Itu tidak bermakna mereka sudah selesai.”

Beliau berkata, tentera AS boleh “masuk selama dua minggu lagi dan menyerang setiap sasaran.”

“Kami mempunyai sasaran tertentu yang mahu diserang dan kami mungkin sudah melaksanakan 70 peratus daripadanya, tetapi masih ada sasaran lain yang mungkin boleh kami serang.

“Tetapi walaupun kami tidak lakukan demikian, ia mungkin cuma sentuhan terakhir,” katanya.

Mengulas mengenai NATO, Trump berkata pakatan itu “terbukti hanya harimau kertas” kerana tidak membantu dalam operasi berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top