Azam Baki puji filem Konspirasi, angkat martabat dan peranan SPRM

Azam Baki puji filem Konspirasi, angkat martabat dan peranan SPRM

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Putrajaya: Ketua Pesuruhjaya (KP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menyifatkan filem Konspirasi sebagai karya seni ditunggu-tunggu kerana mengangkat imej agensi penguatkuasaan itu.

Azam berkata, meskipun Konspirasi arahan Ghaz Abu Bakar bukan filem pertama berkisar usaha SPRM dalam membanteras rasuah di tanah air, pihaknya meletak harapan positif terhadap naskhah berkenaan.

“Sejujurnya apabila mendapat tahu barisan pelakon filem Konspirasi ini, saya meneliti setiap orang untuk melihat sesuai dengan watak yang dibawa termasuk Roy Azman sebagai KP SPRM, malah saya turut pinjamkan pakaian seragam asal SPRM kepada Roy.

“Apapun, pertama kali filem ini saya sangat nanti-nantikan kerana dulu pernah ada beberapa filem cuba (dihasilkan), tetapi pada saya kurang berjaya atau boleh dikatakan ada yang tidak diterbitkan dan sebagainya.

“Saya amat cemburu kerana banyak jabatan lain sudah ada ‘filem’ sendiri dan sebagainya, tetapi SPRM tiada filem. Pada saya, kalau fikirkan naratifnya macam mana SPRM ini. Kami bukan satu jabatan 100 peratus ‘enforcement’ (penguatkuasaan), tetapi ‘brand’ (jenama) kami adalah ‘enforcement’.

“Ya, tetapi kita nak tunjukkan juga bagaimana kemampuan (SPRM) hari ini kepada orang ramai kerana terus-terang saya katakan, ‘I want to market MACC’. Itulah niat saya daripada mula bukan jadi KP… ketengahkan fungsi besar kami,” katanya.

Azam berkata demikian ketika berucap pada pada tayangan khas filem Konspirasi terbitan bersama Elepfilm Entertainment dan Asia Tropical Films di TGV Alamanda, di sini, hari ini.

Menurutnya, SPRM sudah banyak kali cuba mengetengahkan peranan agensi itu dalam pelbagai cara tetapi menerusi penerbitan filem ini diyakini masyarakat akan lebih memandang tanggungjawab digalas mereka.

Filem Konspirasi berdurasi 125 minit akan mula menemui penonton di seluruh pawagam tempatan pada 21 Mei ini di mana ia diedar dan dipasarkan oleh Primeworks Studios Sdn Bhd.

Ia bergenre political thriller, aksi dan penyiasatan siber ini membariskan pelakon seperti Datuk Adi Putra sebagai Tuan Adli, Alicia Amin (Maya), Roy Azman (Tan Sri Kamil), Hisyam Hamid (Dhani), Shiqin Kamal (Ily), Che Puan Sarimah Ibrahim (Datuk Suraya), Amir Nafis (Mikail) dan ramai lagi

Konspirasi mengisahkan SPRM menerima maklumat sulit berkaitan pelayan tersembunyi yang menyimpan senarai ahli politik korup (rasuah) dan transaksi kewangan luar negara.

Justeru, Tan Sri Kamil mengarahkan pasukan elitnya yang diketuai Tuan Adli bersama Ily, Dhani, Maya dan Zikri untuk melancarkan operasi sulit merampas data berkenaan.

Namun, misi itu bertukar menjadi perangkap apabila sebahagian data bocor ke media dan laman gelap serta mencetuskan krisis politik negara.

Perdana Menteri kemudian ditekan pembangkang yang menuntut jawapan, sementara kepercayaan terhadap SPRM mula goyah dengan desas-desus wujudnya pengkhianat dari dalam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top