Kumpulan curi kabel tumpas, 6 suspek miliki pelbagai rekod lampau jenayah

Kumpulan curi kabel tumpas, 6 suspek miliki pelbagai rekod lampau jenayah

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Polis berjaya menahan enam suspek lelaki yang disyaki terbabit dalam kes kecurian kabel di Seksyen 2, di sini pada Sabtu minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol, berkata tangkapan dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dengan kerjasama Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Sek 9 dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

“Hasil operasi di sekitar Lembah Klang pada 4 Mei hingga 9 Mei, polis berjaya menahan enam lelaki warga tempatan berusia 26 hingga 40 tahun.

“Semakan mendapati kesemua suspek mempunyai tujuh hingga 31 rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.

“Empat daripada suspek didapati positif dadah jenis Amphetamine (AMP) dan Methamphetamine (METH) semasa tangkapan dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramsay berkata, dalam serbuan itu polis turut merampas kenderaan Nissan Navara, peralatan digunakan ketika mencuri kabel serta tiga gulung kabel milik Telekom Malaysia.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan dengan tertangkapnya kumpulan penjenayah ini polis dapat menyelesaikan beberapa kes curi kabel yang lain di Kontinjen Selangor.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 235 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 300,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau juga meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah IPD Shah Alam, Inspektor Mohammad Amirul Zulkifli (012-5583436) bagi membantu siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top