am@hmetro.com.my
Cameron Highlands: Bekas Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Cameron Highlands bersama 50 ahli mengumumkan kembali menyertai UMNO selepas lapan tahun meninggalkan parti itu.
Mohd Azmi Abdullah berkata, keputusan kembali kepada UMNO dibuat atas kerelaan sendiri bersama ahli lain di Kampung Keledek selepas merasakan perjuangannya dalam parti itu tidak lagi memberi makna.
“Setelah lapan tahun berada dalam BERSATU, saya memikirkan perjuangan parti ini tidak dapat memberi kelebihan kerana Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah memberikan yang terbaik kepada kawasan Cameron Highlands dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai,” katanya.
Menurut beliau, pelbagai cabaran dihadapi sepanjang berada dalam parti pembangkang termasuk kekangan kewangan dan kesukaran menggerakkan organisasi di peringkat bahagian.
Beliau juga melihat banyak pembangunan dan usaha dilakukan kerajaan negeri di bawah pimpinan Wan Rosdy sehingga menyukarkan pihak pembangkang memainkan peranan secara berkesan di kawasan Jelai.
“Saya lihat Menteri Besar buat kerja yang cukup baik. Jadi kami tidak nampak apa yang perlu kami lawan di Jelai ini.
“Saya mahu menyumbang kepada masyarakat tetapi saya rasa terikat dan tidak mampu berbuat demikian,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Besar Pahang, Mohd Farid Mohd Nor berkata kira-kira 500 hingga 600 bekas ahli BERSATU kembali menyertai UMNO di Pahang setakat ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




