Martin puas akhiri kemarau trofi MotoGP 588 hari

Martin puas akhiri kemarau trofi MotoGP 588 hari

Le Mans, Perancis: Jorge Martin bangkit daripada petak ketujuh untuk menjuarai Grand Prix (GP) Perancis di Le Mans semalam sekali gus menghadiahkan kemenangan pertama MotoGP buat dirinya selepas 588 hari.

Pelumba Sepanyol itu yang bergelut dengan musim 2025 akibat kemalangan dan kecederaan, memintas pendahulu perlumbaan Marco Bezzecchi ketika berbaki tiga pusingan sebelum meraih kemenangan pertamanya sejak menjuarai dunia pada 2024.

“Ini sesuatu yang luar biasa. Saya sangat bersyukur kepada semua peminat,” kata Martin penuh emosi.

“Saya juga mahu berterima kasih kepada keluarga, pasukan, teman wanita dan semua yang sentiasa bersama saya sepanjang tempoh sukar ini. Saya benar-benar kehilangan kata-kata.”

Kemenangan itu turut merapatkan kedudukan Martin dalam perebutan gelaran dunia apabila dia kini hanya dipisahkan satu mata di belakang Bezzecchi.

Sementara itu, Ai Ogura menamatkan perlumbaan di tempat ketiga bersama pasukan satelit Aprilia, Trackhouse Racing, bagi memastikan pengeluar Itali itu menguasai keseluruhan podium buat kali pertama dalam sejarah MotoGP.

Kejayaan Ogura itu turut menyaksikannya menjadi pelumba Jepun pertama menaiki podium MotoGP dalam tempoh 14 tahun.

“Apa yang boleh saya katakan, ia memang menakjubkan. Perlumbaan ini bukan mudah tetapi rentak saya sangat baik dan saya amat gembira,” katanya.

Pasukan Ducati pula terus menerima tamparan apabila juara dunia bertahan, Marc Marquez terlepas perlumbaan selepas mengalami patah kaki akibat kemalangan ketika perlumbaan pecut pada Sabtu, manakala rakan sepasukannya dan pemenang petak utama, Francesco Bagnaia turut terbabas ketika berada di kedudukan kedua.

Bagnaia melakukan permulaan hambar sehingga membolehkan Bezzecchi memimpin perlumbaan manakala pelumba tuan rumah, Fabio Quartararo naik ke tempat kedua.

Martin pula gagal memulakan perlumbaan sepantas aksi pecut Sabtu lalu apabila tersekat dalam kelompok pelumba di awal perlumbaan.

Namun situasi berubah apabila Bagnaia yang cuba memberi tekanan kepada pendahulu perlumbaan terbabas di selekoh ketiga pada pusingan ke-16, sekali gus menjadi kegagalan ketiganya menamatkan perlumbaan Ahad musim ini.

Martin kemudian memanfaatkan peluang itu dengan memintas pelumba KTM, Pedro Acosta untuk naik ke tempat kedua sebelum mula mengejar Bezzecchi.

Walaupun ketinggalan hampir tiga saat, Martin berjaya merapatkan jurang dan akhirnya memintas Bezzecchi untuk meraih kemenangan dramatik itu.

Harapan Acosta untuk menaiki podium buat kali ketiga musim ini pula musnah apabila Ogura memintasnya empat pusingan sebelum tamat, sekali gus melengkapkan podium bersejarah buat Aprilia.

Bos Aprilia, Massimo Rivola mengakui beliau hampir tidak sanggup melihat pertarungan dua pelumba utamanya itu.

“Mereka pelumba yang bijak dan pejuang sebenar. Selagi mereka saling menghormati antara satu sama lain, saya tiada masalah,” katanya.

Sebaik melintasi garisan penamat, Martin meraikan kemenangan itu dengan gaya tersendiri sebelum meniru sambutan jaringan bintang Perancis, Kylian Mbappe dengan menyilangkan tangan di dada.

Dalam perkembangan terakhir perlumbaan, Fabio Di Giannantonio dari pasukan VR46 Racing berjaya memintas Acosta pada saat akhir untuk merampas tempat keempat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top