PERBADANAN Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) terus memperkukuh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor menerusi pembangunan Selangor Fruit Valley (SFV) sebagai hab agropelancongan bertaraf antarabangsa yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi agro dan sektor pelancongan domestik.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, sejak 2021 hingga 2025, SFV berjaya merekodkan seramai 500,000 pengunjung sekali gus mencerminkan peningkatan permintaan terhadap produk pelancongan berasaskan agro, pendidikan dan rekreasi keluarga.
Menurutnya, selain menerima kehadiran pengunjung tempatan, SFV turut menjadi pilihan pelancong antarabangsa termasuk dari United Kingdom, Australia, Rusia, Afrika, China, India, Jepun dan Korea.
“Sebagai destinasi agropelancongan popular di Selangor, SFV merekodkan pendapatan sebanyak RM7 juta pada tahun 2025 melibatkan jualan buah-buahan dan sayur-sayuran, aktiviti agropelancongan, jualan produk ACE serta sewaan tanah kepada usahawan tani.
“Bagi tahun 2025 sahaja, SFV menerima kira-kira 100,000 pengunjung dan kami menyasarkan peningkatan kepada 150,000 pengunjung pada tahun 2026 selaras dengan strategi pengembangan sektor agropelancongan negeri,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutup Karnival Cemara Seni 2026 di Bestari Jaya pada Ahad.

Mohamad Khairil berucap merasmikan majlis penutup Karnival Cemara Seni 2026 di SFV, Bestari Jaya pada Ahad.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Datin Wan Nor Ashikin Abu Kassim.
Beliau berkata, transformasi yang dilaksanakan PKPS sejak 2021 turut berjaya memperkukuh kedudukan sektor agro negeri sebagai antara penyumbang ekonomi baharu yang semakin berkembang.
Menurutnya, PKPS kini memberi tumpuan kepada pembangunan produk nilai tambah menerusi unit Aissan Global sebagai sebahagian daripada strategi Pelan Transformasi Agribisnis 2026–2030 (SEED 2030).
“Kita bukan lagi hanya bergantung kepada hasil pertanian mentah, tetapi mengembangkan produk siap berasaskan agro untuk dipasarkan ke luar negara.
“Antara perkembangan positif ketika ini ialah rundingan bersama rangkaian pasar raya antarabangsa, Lulu Hypermarket bagi membawa produk PKPS ke pasaran Asia Barat dan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga sedang memperkukuh jaringan perniagaan di beberapa negara termasuk Asia Barat dan Eropah sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan eksport produk agro Selangor.
“Kita telah membuka pasaran dan kini sedang berunding untuk mengembangkan operasi perniagaan di luar negara termasuk Eropah. Semua perancangan berjalan lancar dan memberi petunjuk positif kepada pertumbuhan perniagaan PKPS,” ujarnya.
Tambah beliau, sektor agro kini mempunyai potensi besar sebagai sektor ekonomi bernilai tinggi sekiranya dibangunkan secara agresif dan bersepadu.

SFV merekodkan pendapatan sebanyak RM7 juta pada tahun 2025 melibatkan jualan buah-buahan dan sayur-sayuran, aktiviti agropelancongan, jualan produk ACE serta sewaan tanah kepada usahawan tani.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, penganjuran Karnival Cemara Seni 2026 membuktikan SFV bukan sahaja berfungsi sebagai destinasi pelancongan, malah berkembang sebagai platform pembangunan bakat dan kreativiti generasi muda.
Menurutnya, program yang berlangsung selama empat hari bermula 7 hingga 10 Mei itu dianjurkan PKPS dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan berjaya menghimpunkan seramai 1,872 murid daripada 275 sekolah di seluruh Selangor.
“Selangor Fruit Valley telah menjadi saksi kepada cetusan kreativiti, keringat dan semangat juang anak-anak muda kita. Pengalaman berkarya di lokasi unik ini merupakan satu anugerah yang tidak dapat dijual beli,” katanya.
Beliau turut berharap platform seperti Karnival Cemara Seni akan terus menjadi medium penting dalam mencungkil dan mengembangkan potensi generasi muda, sekali gus melahirkan lebih ramai bakat seni yang mampu diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Karnival Cemara Seni 2026 membuktikan SFV bukan sahaja berfungsi sebagai destinasi pelancongan, malah berkembang sebagai platform pembangunan bakat dan kreativiti generasi muda.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan inisiatif berkenaan selaras dengan aspirasi PKPS untuk memperkukuh ekonomi agro menerusi pendekatan bersepadu yang menggabungkan sektor pelancongan, pendidikan dan pembangunan komuniti.
Tambah beliau, PKPS sebagai organisasi utama dalam industri perladangan dan agro makanan negeri komited menerajui transformasi sektor agro Selangor ke arah ekosistem lebih moden, berdaya saing dan mampan.
Menurutnya, SEED 2030 digerakkan menerusi lima teras strategik yang disokong oleh anak syarikat PKPS termasuk SFV dengan fokus terhadap pengukuhan rantaian bekalan makanan, inovasi agro, pembangunan bakat dan pengembangan ekonomi agro bernilai tinggi.
“SFV bukan sahaja berkembang sebagai destinasi pelancongan, malah turut berperanan sebagai platform pendidikan agro dan pemangkin pembangunan industri makanan negeri,” katanya.



