Kuota subsidi RON95 hilang: Polis tahan juruwang warga Bangladesh

Kuota subsidi RON95 hilang: Polis tahan juruwang warga Bangladesh

Sik: Polis menahan seorang pekerja stesen minyak warga Bangladesh bagi membantu siasatan kes kehilangan kuota petrol subsidi Budi MADANI RON95 (BUDI95) yang disyaki digunakan pihak lain di Kupang, Baling, semalam.

Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Brandon Richard Joe berkata, penahanan itu adalah susulan daripada laporan polis yang dibuat oleh seorang peniaga berusia 57 tahun dari Selangor yang mendakwa kuota subsidi BUDI95 miliknya hilang.

“Pengadu mendakwa menyedari perkara itu semasa berada di sebuah stesen minyak di Setia Alam, Shah Alam kira-kira 4.48 petang 8 April lalu, sebelum sebelum membuat semakan melalui aplikasi BUDI95.

“Hasil semakan mendapati terdapat transaksi pengisian minyak subsidi RON95 menggunakan nombor kad pengenalan pengadu di sebuah stesen minyak di Padang Lengkuas, Kupang, Baling,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Siasatan lanjut mendapati berlaku enam transaksi pengisian minyak RON95 menggunakan nombor kad pengenalan pengadu membabitkan 309.038 liter minyak bernilai RM1,242.33, bermula 18 Mac hingga 8 April lalu.

Berikutan itu, Brandon berkata, warga Bangladesh berusia 34 tahun yang juga juruwang stesen minyak itu direman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau berkata, polis turut mengesan seorang individu warga tempatan yang dipercayai turut terbabit dalam kes itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top