am@hmetro.com.my
Bentong: Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh dilantik sebagai Ahli Dewan Negara bagi tempoh tiga tahun, sekali gus memperkukuh suara Pahang di peringkat nasional.
Pelantikan itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selaras Perkara 45(1)(b) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa kepada Seri Paduka Baginda melantik senator.
Mohamad Zaini berkata, pelantikan itu bukan sekadar penghormatan peribadi, sebaliknya amanah besar untuk memperjuangkan kepentingan rakyat Pahang khususnya Bentong di Dewan Negara.
“Keutamaan saya adalah memastikan kepentingan rakyat Bentong dan Pahang tidak diketepikan.
“Saya akan membawa suara akar umbi ke peringkat nasional, khususnya dalam hal berkaitan peluang pekerjaan, pendidikan, kesejahteraan anak muda dan petani,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen untuk bekerjasama erat dengan kepimpinan negeri dan kerajaan Persekutuan bagi memastikan dasar pembangunan negara memberi manfaat seimbang kepada semua negeri.
“Saya percaya dengan semangat muafakat dan integriti, kita mampu menjadikan Dewan Negara sebagai wadah memperkukuh demokrasi serta memperjuangkan kepentingan rakyat secara menyeluruh,” katanya.
Mohamad Zaini mempunyai pengalaman luas dalam politik akar umbi apabila pernah memegang beberapa jawatan penting dalam UMNO termasuk Ketua Pemuda UMNO Pahang (1998-2001) dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bentong (1998-2023), selain kini sebagai Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong.
Beliau juga aktif dalam pertubuhan masyarakat dan sektor korporat antaranya sebagai Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Bentong serta Ahli Lembaga Pengarah YP Plantations Holding Sdn Bhd.
Dilahirkan di Raub pada 25 Disember 1958, Mohamad Zaini memiliki latar pendidikan dalam bidang pentadbiran perniagaan dan memiliki kelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Open University Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




