Selat Hormuz: Apabila laut jadi nadi dunia

Selat Hormuz: Apabila laut jadi nadi dunia

SELAT HORMUZ hanyalah sebuah laluan laut yang sempit dengan kelebaran sekitar 29 batu nautika, namun peranannya terhadap kestabilan global adalah luar biasa.

Sebagai penghubung utama antara Teluk Parsi dengan Teluk Oman, selat ini merupakan ‘urat nadi’ ekonomi dunia yang menyalurkan kira-kira 25 peratus perdagangan minyak global dan 20 peratus bekalan gas asli cecair (LNG) dunia bagi tempoh 2023 hingga 2025.

Dikenali sebagai antara choke points paling kritikal di dunia, kedudukan strategiknya menjadikan sebarang gangguan terhadap kelancaran trafik kapal di sini mampu mencetuskan kesan domino yang melumpuhkan rantaian ekonomi antarabangsa.

Sebelum istilah geopolitik diperkenalkan, terdahulu al-Quran sudah menggambarkan kekuasaan ALLAH SWT melalui penciptaan laut dan sungai serta menyatakan peranan laut sebagai nadi kehidupan manusia.

ALLAH SWT berfirman: “Dan tidaklah sama kedua-dua laut itu, yang ini tawar, segar lagi enak diminum dan yang satu lagi masin serta pahit. Dan daripada tiap-tiap satu (laut) itu, kamu dapat makan daging yang segar (ikan) dan kamu dapat mengeluarkan perhiasan yang kamu pakai. Dan kamu melihat kapal-kapal membelah air (belayar) di dalamnya, supaya kamu dapat mencari limpah kurniaan-NYA dan mudah-mudahan kamu bersyukur.” (Surah Fatir: 12)

Antara yang dapat dijadikan pengajaran berdasarkan ayat tersebut:

1 – Laut sumber kelestarian makanan manusia

Lautan merupakan gedung sumber makanan manusia utama yang dikurniakan ALLAH SWT.

Melalui frasa lahman tariyya (daging yang segar), DIA menegaskan bahawa hidupan laut bukan sahaja suci dan halal, malah ia merupakan sumber nutrisi berkualiti tinggi yang mudah diperoleh untuk kelangsungan hidup manusia sejagat.

2 – Kepelbagaian sifat air sebagai rahmat ekosistem

Perbezaan sifat antara air tawar yang menyegarkan (‘azbun furat) dan air masin yang pahit (milhun ujaj) bukan sekadar fenomena alam, malah satu rahmat buat seluruh makhluk.

Keseimbangan kemasinan dan suhu di kawasan pertemuan dua arus ini (seperti di muara atau selat) sangat kritikal bagi mengekalkan kestabilan ekosistem marin dan kitaran iklim global.

3 – Khazanah laut pemacu ekonomi dan perdagangan

Selain sumber makanan, lautan menyimpan khazanah berharga seperti mutiara dan batu permata untuk dijadikan perhiasan serta komoditi perdagangan.

TERLETAK di laluan strategik, Selat Hormuz jadi idaman kuasa besar dunia. Foto Canva

TERLETAK di laluan strategik, Selat Hormuz jadi idaman kuasa besar dunia. Foto Canva

Jika ditelusuri sejarah, lautan juga memainkan peranan sebagai pemacu ekonomi tempatan melalui industri mutiara dan hasil laut yang gah.

4 – Prasarana logistik dan lebuh raya perdagangan global

ALLAH SWT menceritakan perihal kapal yang membelah lautan (mawakhira) sebagai isyarat kepada kecanggihan logistik maritim.

Menurut Tafsir as-Sa’di, keagungan ALLAH dengan penciptaan laut yang luas ini bertujuan mempermudahkan pergerakan manusia untuk menjalankan aktiviti perniagaan merentasi sempadan wilayah.

Lautan dijadikan ‘lebuh raya’ yang menghubungkan limpah kurnia ALLAH (fadhlihi) termasuklah sumber tenaga moden seperti petroleum dari satu benua ke benua yang lain.

Dari mutiara ke emas hitam

Dalam menelusuri ayat “Wa taral-fulka fihi mawakira litabtaghu min fadhlihi” (Dan kamu melihat kapal-kapal membelah air (belayar) padanya supaya kamu dapat mencari limpah kurnia-NYA) terdapat satu rahsia bahasa yang sangat halus.

Perkataan “fihi” (di dalamnya) walaupun tidak didahulukan, namun dari sudut Balaghah, ia menegaskan bahawa pergerakan kapal berlaku dalam satu ruang tertentu iaitu laut.

Ini memberi gambaran bahawa laut itu bukan sekadar air, tetapi satu ruang yang mempunyai fungsi dan kepentingan tersendiri.

Dalam konteks moden, ia boleh dianalogikan sebagai kedaulatan ruang maritim khususnya perairan wilayah sesebuah negara.

Jika mutiara menjadi dambaan zaman berzaman, mutiara hari ini merupakan minyak mentah yang digali dari perut bumi dan dihantar ke seluruh pelosok dunia melalui lebuh raya laut.

PETA laluan strategik Selat Hormuz. Foto Canva

PETA laluan strategik Selat Hormuz. Foto Canva

Apabila kita menoleh ke arah titik genting (choke point) seperti Selat Hormuz atau Selat Melaka, intisari ayat ini menjadi sangat nyata iaitu laut nadi yang mendenyutkan ekonomi dunia.

Teori geopolitik klasik pernah menyebut: “Siapa menguasai laut, dia menguasai dunia.”

Hakikat ini dapat diterjemah hari ini apabila kuasa-kuasa besar dunia saling bersaing merebut pengaruh di selat-selat strategik ini. Kawalan ke atas laluan ini bukan sekadar tentang navigasi tetapi ia adalah ‘bargain point‘ (titik rundingan) yang memberi kelebihan besar dalam rundingan antarabangsa.

Bayangkan jika berlaku sekatan di Selat Hormuz akibat konflik yang berlarutan, ia bukan sahaja menjejaskan bekalan minyak mentah, malah mencetuskan kesan berantai terhadap rantaian makanan global termasuk bekalan baja serta mendorong inflasi yang akhirnya membebankan kehidupan rakyat marhaen.

Ketamakan dan tuntutan syukur Di sinilah ALLAH SWT meletakkan penutup ayat yang sangat dalam: “La’allakum tasykurun” (Supaya kamu bersyukur) iaitu DIA mengingatkan segala limpah kurnia di lautan itu adalah untuk disyukuri, bukannya untuk dikuasai dengan sifat tamak haloba dan kerakusan.

Lawan bagi syukur ialah ketamakan dan sejarah membuktikan bahawa kehancuran dunia sering bermula daripada kegagalan manusia untuk merasa cukup.

Sifat syukur membawa kepada keamanan, manakala ketamakan membawa kepada peperangan. Dalam mendepani krisis ekonomi yang mungkin berpanjangan akibat ketegangan geopolitik seperti konflik Amerika-Iran, sifat syukur dan sabar ialah perisai terbaik kita.

Di peringkat individu, kita dituntut untuk lebih berjimat cermat dan bijak mengurus perbelanjaan. Krisis ini mungkin membawa kepada pengurangan peluang pekerjaan dan tekanan kos sara hidup, namun dengan sifat syukur, kita akan lebih tabah mengharungi ujian ini.

***Penulis, DR AZMIR AZRI AHMAD merupakan Setiausaha Agung Multaqa Asatizah & Du’at (Murshid)

Scroll to Top