
Lithuania mengerah hingga 40 anggota tentera dan kakitangan awam pertahanan memastikan laluan selamat di Selat Hormuz. Foto Reuters
LONDON – Majlis Pertahanan Negara Lithuania meluluskan rancangan untuk mengerah hingga 40 anggota tentera dan kakitangan awam pertahanan bagi menyertai misi antarabangsa yang bertujuan memastikan laluan selamat di Selat Hormuz, kata pejabat presiden, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam kenyataan pada Isnin, pejabat itu berkata majlis berkenaan menyokong penghantaran “sehingga 40 anggota tentera dan kakitangan awam sistem pertahanan negara” bagi menyertai operasi keselamatan maritim sekutu di laluan air strategik itu.
Kenyataan itu berkata majlis berkenaan turut mencadangkan supaya kerajaan segera memohon pindaan terhadap mandat Parlimen yang mengawal penyertaan Lithuania dalam operasi antarabangsa.
Undian di Parlimen Lithuania, Seimas diperlukan sebelum pengerahan itu boleh dilaksanakan.
Pejabat presiden turut memaklumkan bahawa Lithuania juga bersedia menyediakan sokongan logistik dan membenarkan penggunaan infrastruktur ketenteraannya sebagai respons kepada permintaan Amerika Syarikat (AS).
AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Februari lalu, mencetuskan tindak balas Teheran terhadap Israel serta sekutu AS di Teluk, selain penutupan Selat Hormuz.
Gencatan senjata berkuat kuasa pada 8 April menerusi pengantaraan Pakistan, namun rundingan di Islamabad gagal menghasilkan perjanjian berkekalan.
Gencatan senjata itu kemudian dilanjutkan oleh Presiden AS, Donald Trump tanpa menetapkan tarikh akhir.- Bernama-Anadolu



