Pan-gon janji aksi menyerang di Vietnam

Pan-gon janji aksi menyerang di Vietnam

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengendali Selangor FC, Kim Pan-gon memberi bayangan skuad Red Giants tidak akan turun sekadar ‘parkir bas’ ketika berdepan Nam Dinh FC dalam aksi separuh akhir kedua Kejuaraan Kelab Asean (ACC) di Stadium Thien Truong, petang esok.

Meskipun membawa bekalan tipis 2-1 daripada aksi pertama di Stadium MBPJ, Rabu lalu, Pan-gon menegaskan DNA Selangor FC adalah bermain secara menyerang dan bukannya hanya bertahan sepanjang perlawanan.

Menurut jurulatih dari Korea Selatan itu, Selangor FC tetap akan mencari gol di gelanggang lawan kerana beliau percaya pendekatan terlalu ‘defensif’ hanya akan mengundang tekanan besar daripada Nam Dinh.

“Kami perlu kekal berdaya tahan. Mereka mungkin akan menyerang kami, tetapi mereka juga perlu tahu kami ada penyerang dan pemain sayap yang mampu menghukum mereka,” katanya.

Pan-gon berkata, beliau menjangkakan Nam Dinh akan tampil lebih agresif di hadapan penyokong sendiri bagi memburu kebangkitan selepas tewas tipis pada aksi pertama.

Namun, beliau percaya anak buahnya mempunyai kualiti serta pengalaman untuk menyerap tekanan sebelum melancarkan serangan balas berbahaya ke kubu lawan.

“Kami akan bersedia untuk menyerap tekanan dan cuba mencapai sasaran ke final,” katanya.

Bekas pengendali skuad kebangsaan Malaysia itu turut menegaskan peluang pemainnya untuk melangkah ke final masih terbuka luas, namun para pemain perlu mengekalkan disiplin dan fokus sepanjang 90 minit perlawanan.

Jika berjaya mempertahankan kelebihan agregat, Selangor FC bakal melakar sejarah tersendiri apabila mara ke pentas final ACC sekali gus menghidupkan peluang membawa pulang trofi berprestij Asia Tenggara itu ke Shah Alam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top