am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Taktik sindiket pengedaran dadah menggajikan wanita warga asing sebagai ‘runner’ dengan upah kira-kira RM100 setiap penghantaran tumpas susulan penahanan 16 individu termasuk warga asing dalam lima serbuan berasingan di Cheras dan Bukit Jalil, di sini pada minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, dalam kes pertama pihaknya menahan 10 wanita warga Vietnam, seorang lelaki warga Bangladesh serta seorang wanita dan dua lelaki tempatan dalam tiga serbuan berasingan di Cheras dan Bukit Jalil pada Jumaat lalu.
Katanya, dalam serbuan pertama di sebuah hotel di Taman Maluri di sini menahan seorang wanita warga Vietnam dan merampas methamphetamine seberat 0.31 gram (g) serta 1.01g ketamin pada 11.15 pagi.
“Susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah kediaman di Bukit Jalil jam 12 tengah hari, hari sama dan menahan tujuh wanita warga Vietnam, seorang wanita tempatan serta seorang lelaki Bangladesh.
“Hasil pemeriksaan di ruang tamu menemui serbuk ‘4-methylenedioxymethamphetamine’ (MDMA) seberat 82.72g dan ketamin seberat 1.64g selain wang tunai RM700,” katanya pada sidang media di IPD Cheras di sini, hari ini.
Menurutnya, dalam serbuan ketiga di sebuah rumah di Bukit Jalil pada 1.15 tengah hari, hari sama menahan seorang lelaki tempatan dan dua wanita Vietnam sekali gus membawa kepada rampasan 3,040 mililiter (ml) cecair MDMA dan serbuk MDMA seberat kira-kira 879g.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dalam ketiga-tiga serbuan berkenaan bernilai RM7,247. Sembilan individu yang ditahan itu didapati positif dadah dan semakan mendapati semua suspek tiada rekod kesalahan lampau,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan aktif sejak dua hingga tiga bulan lalu dengan suspek dipercayai bertindak sebagai ‘runner’ dadah di sekitar Lembah Klang.
Difahamkan, tempahan dan urusan penghantaran dadah dibuat menerusi aplikasi WeChat sebelum bekalan dihantar kepada pelanggan kebanyakan untuk kegunaan pelanggan pusat hiburan.
“Siasatan awal mendapati mereka menerima upah kira-kira RM100 untuk satu penghantaran namun siasatan lanjut masih dijalankan.
“Pemeriksaan juga mendapati warga asing yang ditahan itu mempunyai dokumen sah namun kita masih menunggu laporan (pengesahan) pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berkaitan kemasukan mereka ke negara ini. Semua suspek direman selama tujuh hari sehingga Jumaat ini,” katanya.
Dalam pada itu Mohd Rosdi berkata, dalam kes kedua pihaknya menahan seorang lelaki tempatan di sebuah bilik sewa di Taman Tenaga di sini, pada 11.35 malam yang membawa kepada rampasan 1.25 kilogram (kg) serbuk MDMA, 8.8 liter cecair MDMA, Erimin 5 (2.79g) dan pil estacy (1.55g) bernilai RM13,700.
Katanya, pihaknya turut merampas wang tunai RM100 dan ujian awal saringan air kencing terhadap suspek juga dipercayai ‘runner’ yang kini direman selama enam hari sehingga Khamis ini mendapati dia negatif dadah.
“Semakan mendapati suspek tiada rekod kesalahan lampau dan dia juga dipercayai ‘runner’ dengan upah kira-kira RM100.
“Dalam kes berasingan, kami turut menahan seorang lelaki tempatan dipercayai ‘runner’ dan merampas 2.5 liter cecair MDMA, ketamin (10g), katrij vape cecair MDMA (2 militer) dan estacy (33.94g) yang bernilai RM6,000 pada Sabtu lalu.
“Lelaki itu didapati positif dadah hasil ujian air kencing dan mempunyai rekod dikehendaki. Dia direman lima hari bermula Ahad lalu hingga Khamis ini,” katanya.
Beliau berkata, semua kes membabitkan tangkapan berusia antara 20-an hingga 60-an itu disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2) serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
© New Straits Times Press (M) Bhd




